KUALA KUBU BHARU, 28 NOV: Kuih tradisional masyarakat berketurunan Bengkulu di Hulu Selangor mencipta sejarah apabila edaran 12,500 biji Tat Bengkulu pada Festival Makanan Warisan Selangor 2026 mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini.
Pegawai Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Nor Haida Ariffin, 48, berkata pengiktirafan bagi kategori Edaran Tat Bengkulu Terbanyak Dalam Satu Acara itu dicapai menerusi pengagihan 2,500 set kuih berkenaan kepada pengunjung.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memperkenalkan makanan warisan masyarakat setempat kepada orang ramai, khususnya generasi muda.
“Untuk hari ini dari pihak PADAT kita menyediakan 12,500 biji edaran tat Bengkulu terbanyak untuk pengunjung di sekitar Hulu Selangor. Jadi setiap orang akan dapat dalam satu kotak tu akan dapat lima bijilah.
“Jadi hari ini kita memperkenalkan Tat Bengkulu warisan Hulu Selangor yang berintikan kelapa asli,” katanya ketika ditemui pada festival berkenaan di Dataran Warisan, di sini.

Nor Haida berkata program memperkenalkan makanan warisan Selangor itu memasuki penganjuran kali kelima sejak dimulakan pada 2022 dengan mengetengahkan makanan tradisional mengikut identiti daerah dan etnik di negeri ini.
Antara makanan warisan yang diperkenalkan sebelum ini termasuk nasi ambeng, sate Kajang, punten dan sagu mata ikan.
Sementara itu, wakil PADAT, Nur Natasha Basir, 36, berkata edaran Tat Bengkulu mendapat sambutan menggalakkan apabila pengunjung mula beratur di reruai perbadanan itu seawal jam 8 pagi, manakala sesi edaran bagi mencipta rekod MBOR bermula pada jam 10 pagi.
“Dan pada pukul 11.30 pagi tadi kita dah capai sebanyak 12,500 biji tat Bengkulu telah diedarkan kepada orang ramai dan pihak PADAT berasa amat banggalah dengan kehadiran ramai pengunjung di sekitar dataran Kuala Kubu Bharu ini,” katanya.

Festival yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu turut menyaksikan pengisytiharan Tat Bengkulu sebagai Makanan Warisan Selangor.
Pewartaan berkenaan merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Negeri memartabatkan khazanah gastronomi selepas nasi ambeng pada 2022 dan sate Kajang pada 2025.
Dalam pada itu, Nor Haida berkata PADAT berharap dapat meneruskan usaha memperkenalkan makanan warisan Selangor pada 2027 dengan kemungkinan mengetengahkan kuih jongkong di Hulu Langat.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan khazanah kulinari negeri terus dikenali dan tidak dilupakan generasi akan datang.






