SETIA ALAM, 27 NOV: Usaha mempercepat aliran keluar air dari kawasan banjir di Bukit Changgang, Kuala Langat dipergiat menerusi penggunaan pam.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata banjir di kawasan berkenaan dijangka mula surut esok susulan usaha itu serta langkah menghalang limpahan daripada terus memasuki kawasan terjejas.
Menurutnya, keadaan di lokasi terbabit akan terus dipantau bagi memastikan proses penyurutan air banjir berjalan lancar.
“Perlahan-lahan saya rasa air akan mula surut mungkin mulai esok. Kita telah elak air daripada masuk dan sekarang telah pam keluar air.
“Kita akan tengok keadaan dari semasa ke semasa. Di Bukit Changgang sebelum ini memang lama, tetapi kali ini saya percaya kita akan cuba mempercepatkan aliran air keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada Parit Mahang dan Bukit Hijau selepas keadaan di Bukit Changgang kembali pulih, memandangkan kedua-dua kawasan berkenaan sudah lama ditenggelami banjir.
Katanya, kerja pembersihan perdana bersama agensi berkaitan dijadualkan bermula esok di Parit Mahang dan kawasan sekitar yang sudah surut.
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan susulan keadaan di kawasan terjejas yang beransur pulih.
Terdahulu, kejadian benteng pecah di kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bukit Changgang pada 25 November lalu menyebabkan limpahan ke kawasan penempatan penduduk.
Berdasarkan data portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 755 mangsa daripada 233 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, iaitu PPS dengan jumlah mangsa banjir tertinggi di Selangor.








