SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri mengurangkan kadar sewa setiap reruai di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026 sebanyak RM500 bagi meringankan kos penyertaan pempamer dan menggalakkan penglibatan lebih meluas dalam industri buku.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu mengambil kira cabaran yang dihadapi pemain industri, khususnya penerbit dan penjual buku, susulan peningkatan kos pengurusan serta operasi.

“Walaupun berdepan cabaran tersebut, Kerajaan Negeri kekal komited menyokong industri berkenaan. Tahun ini, kita mengurangkan kadar sewa setiap reruai sebanyak RM500 bagi meringankan beban pempamer dan menggalakkan penyertaan lebih meluas.
“Kita mahu SIBF menjadi platform yang membolehkan keseluruhan ekosistem buku berkembang dan maju bersama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian SIBF 2026 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata kempen Buy, Read and Apply turut diperkenalkan bagi menggalakkan masyarakat membeli buku, menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian serta mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan.
“Setiap buku yang dibeli menyumbang kepada kelangsungan individu dan perniagaan di sebalik karya yang kita nikmati, selain memberi peluang kepada lebih ramai pembaca meneroka idea serta perspektif baharu,” katanya.

Menurutnya, amalan membaca bukan sahaja meluaskan pemahaman, malah mengukuhkan keupayaan masyarakat untuk bertanya dan menilai maklumat yang diterima.
SIBF 2026 yang menghimpunkan lebih 300 pempamer dan lapan pakar sastera dari tujuh negara merupakan acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri menerusi PPAS sejak 2006, sebelum dijenamakan semula sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor pada 2022.








