SEPANG, 25 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyasarkan kerja membaiki rekahan ban di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang yang pecah pagi tadi dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerja pembaikan sedang dilaksanakan bagi mengawal kemasukan air ke kawasan berkenaan susulan kejadian itu.
“Pihak JPS sedang berusaha menutup kawasan rekahan atau pecahan ban yang berlaku dalam tempoh 24 jam susulan insiden pagi tadi.
“Bagi mengurangkan kenaikan paras air, dua pam bergerak turut digerakkan ke lokasi berkenaan selain pam statik sedia ada,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan pemantauan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang serta lokasi ban di sini, hari ini.
Amirudin berkata RTB Bukit Changgang dijangka terus terkesan sekurang-kurangnya 24 jam berikutan aliran air dari kawasan Hulu Langat dan Sepang serta fenomena air pasang besar.
“Jadi kita jangkakan menjelang 24 jam, kalau tidak ada cuaca yang buruk, masalah ini akan diselesaikan. Usaha menanganinya akan diteruskan sebaik mungkin selain menyelesaikan isu berkaitan rancangan tebatan banjir dan masalah setempat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membuka dua pos kawalan di kawasan terjejas bagi membantu penduduk sekiranya diperlukan.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya bersedia membantu penduduk yang memerlukan pemindahan segera, khususnya warga emas dan orang kurang upaya.
“Kita dah buka pos kawalan bomba di situ untuk membantu penduduk setempat sekiranya memerlukan pemindahan segera dan bot juga sudah disediakan.
“Pemantauan dilakukan susulan jangkaan air pasang pada petang ini yang dikhuatiri menyebabkan air bertakung di kawasan terjejas,” katanya.














