SHAH ALAM, 27 NOV: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) menjadi acara perbukuan kedua terpenting selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meskipun SIBF belum mampu menandingi kekuatan PBAKL, penganjuran acara berkenaan mampu memainkan peranan penting dalam industri perbukuan.
“Hari ini kita dapat anjurkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor dan ini menjadi acara kedua terpenting selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
“Kita belum mampu bersaing dengan kekuatan PBAKL tetapi paling tidak boleh menjadi figura yang bagus untuk penganjuran pesta buku ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian SIBF 2026 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.
Dalam usaha menyemarakkan budaya membaca, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian Baucar Buku Kita Selangor bernilai RM200 kepada mahasiswa tahun depan, dengan peluasan manfaat kepada pelajar tingkatan enam.

“Tahun depan kita masih lagi memberi lagi baucar buku kepada pelajar-pelajar termasuk tingkatan enam dan pelajar universiti.
“Ia akan memberi manfaat dan pesta buku ini juga akan memberikan baucar kepada peserta yang hadir untuk menggalakkan budaya membaca,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis perasmian itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM150,000 bagi pemberian Baucar Buku Kita Selangor sempena SIBF 2026 untuk membantu pelajar mendapatkan bahan bacaan berkualiti.
Menurutnya, akses kepada ilmu dan peluang pembelajaran perlu disediakan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau keadaan masing-masing.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat memupuk minat membaca dalam kalangan golongan muda serta menjadikan pembelajaran sebagai amalan sepanjang hayat.
Majlis perasmian SIBF 2026 disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.









