SHAH ALAM, 26 JUN: Hujan yang sangat lebat dalam tempoh singkat di hulu Lembangan Sungai Langat menjadi punca kejadian ban pecah di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat, semalam.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, aras Sungai Langat di Kampung (RTB) Bukit Changgang meningkat sehingga 4.7 meter (m) melebihi aras bahaya iaitu 4.2m, sekali gus melepasi serta menghakis ban sedia ada.
“Hujan yang sangat lebat di kawasan hulu Lembangan Sungai Langat merekodkan bacaan stesen hujan tertinggi di Pekan Bangi Lama dengan keamatan hujan 122mm dalam tempoh kurang 3 jam.
“Antara kawasan yang terkesan adalah melibatkan kawasan rendah iaitu kawasan pertanian (sebahagian besar merupakan kebun kelapa sawit) dan kawasan penempatan Kampung RTB Bukit Changgang,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah JPS negeri, sebanyak tiga unit pam bergerak sedang beroperasi bagi membantu menurunkan aras banjir selain pemantauan secara berterusan yang dilaksanakan JPS Kuala Langat.
Jelas agensi itu, pihaknya sedang melaksanakan projek membaik pulih ban di kawasan terbabit menggunakan Panel Konkrit Pratuang Sistematik dan Serbaguna Dengan Kaedah Schematic Precast System (SPS) yang dijangka siap pada Januari 2027.
Menurutnya, dua daripada empat kawasan yang terjejas termasuk dalam pelaksanaan projek mitigasi banjir JPS Negeri Selangor bagi langkah penyelesaian jangka panjang yang kini sedang dalam fasa pra-pelaksanaan dan pelaksanaan.
“Projek baik pulih dan pengukuhan ban di Kampung RTB Bukit Changgang sedang dalam pelaksanaan sebanyak 24.5 peratus, manakala projek naik taraf sistem saliran di Kampung Bangi Lama sedang di peringkat reka bentuk,” katanya.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi hotline JPS Negeri Selangor di talian 03 - 55447376.









