SHAH ALAM, 25 NOV: Pembinaan lebuh raya baharu tidak akan mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan, sebaliknya akan menarik lebih banyak trafik ke laluan berkenaan.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata sebarang jajaran baharu bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya itu perlu turut merangkumi sistem Bas Transit Rapid (BRT).
“Sistem KTM Komuter laluan Klang-Kuala Lumpur yang akan beroperasi sepenuhnya tahun depan juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik,” katanya di Facebook.
Semalam, Kementerian Kerja Raya sedang meneliti perancangan pembinaan lebuh raya bertol sebagai antara langkah mengatasi kesesakan di Lebuhraya Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kementerian sudah menerima beberapa cadangan projek lebuh raya baharu daripada pihak swasta, termasuk jajaran yang membabitkan sebahagian atau sambungan daripada Lebuhraya Persekutuan.
Pada 13 November lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 berkata ekosistem pengangkutan awam akan terus diperkasa bagi menyokong hasrat meningkatkan kadar penggunaan kemudahan terbabit kepada 60 peratus berbanding 40 peratus ketika ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM24 juta demi memastikan sistem ‘first mile’ dan ‘last mile’ lebih tersusun serta sempurna.
Sasaran itu sebahagian Misi Kedua Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memberi tumpuan kepada pembentukan sistem pengangkutan awam lebih bersepadu dan mesra pengguna.
Kerajaan Selangor turut memperkenalkan program subsidi pengangkutan awam, SEL 30 pada tahun depan sebagai langkah menggalakkan lebih ramai rakyat negeri ini menggunakan kereta api dan bas. Subsidi bernilai RM30 sebulan itu akan memanfaatkan 13,000 pengguna.
Selain itu, Selangor juga memperkenalkan perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) kira-kira dua tahun lalu sebagai perkhidmatan pengangkutan berkongsi berdasarkan permintaan bagi meningkatkan kesalinghubungan perjalanan awal dan akhir, khususnya antara lokasi kediaman atau destinasi pengguna dengan rangkaian pengangkutan awam utama.











