DRT berpotensi diperkasa, tambahan van tingkat kekerapan perkhidmatan – EXCO

15 Okt 2026, 2:00 PM
DRT berpotensi diperkasa, tambahan van tingkat kekerapan perkhidmatan – EXCO

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) di Selangor mempunyai potensi untuk terus diperkukuh dengan penambahan van diperlukan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan, kata EXCO Mobiliti.

Ng Sze Han berkata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang menunggu ketibaan kumpulan van baharu bagi membolehkan lebih banyak kenderaan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan berkenaan.

“DRT adalah satu kejayaan dan berpotensi menjadi model yang sangat berjaya untuk menangani isu kesalinghubungan perjalanan awal dan akhir di Selangor.

“Cabaran sekarang ialah kita tidak mempunyai van DRT yang mencukupi. Menurut Prasarana atau Rapid KL, mereka sedang menunggu ketibaan kumpulan van baharu sebelum dapat menggunakannya.

“Kita sedang menunggu dan berharap Prasarana dapat menerima van berkenaan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog pada Simposium Mobiliti Selangor, sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han ketika Sesi Townhall sempena Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sze Han menjawab pertanyaan seorang peserta mengenai kekangan perkhidmatan DRT, termasuk sama ada perkhidmatan itu berperanan menampung kelemahan struktur rangkaian bas sedia ada.

Peserta berkenaan, yang mendakwa menggunakan DRT sejak diperkenalkan sekitar 2024, turut berkongsi pengalaman berdepan tempoh menunggu yang lama serta perjalanan yang mengambil masa panjang.

Mengulas perkara itu, Sze Han berkata kekurangan kenderaan untuk memenuhi keperluan laluan sedia ada menjadi cabaran utama dalam meningkatkan kekerapan perkhidmatan.

Beliau berkata data yang dikumpulkan menerusi projek rintis DRT di Selangor menunjukkan model pengangkutan itu sesuai dilaksanakan di negeri ini, namun penambahan van diperlukan bagi memperkukuh keupayaan perkhidmatannya.

Selangor memperkenalkan DRT kira-kira dua tahun lalu sebagai perkhidmatan pengangkutan berkongsi berdasarkan permintaan bagi meningkatkan kesalinghubungan perjalanan awal dan akhir, khususnya antara lokasi kediaman atau destinasi pengguna dengan rangkaian pengangkutan awam utama.

Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.