EXCO: Infrastruktur utama Selangor Aero Park dijangka siap April 2027

24 Nov 2026, 6:30 AM
EXCO: Infrastruktur utama Selangor Aero Park dijangka siap April 2027
EXCO: Infrastruktur utama Selangor Aero Park dijangka siap April 2027

SHAH ALAM, 24 NOV: Pembangunan infrastruktur utama Selangor Aero Park @ KLIA Aeropolis (SAP) dijangka siap menjelang April tahun depan, dengan kemajuan pembinaan struktur utama mencapai 71.79 peratus setakat Oktober lalu.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pembangunan fasa seterusnya dijangka bermula pada 2029, tertakluk kepada keadaan pasaran dan keperluan pembangunan.

Katanya, pembangunan fasiliti GE Aerospace juga sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada pertengahan 2027.

“Pembangunan fasa kedua fasiliti GE Aerospace dijangka bermula pada suku pertama tahun 2027, tertakluk kepada pemuktamadan perancangan awal serta kelulusan Kebenaran Merancang (KM),” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sze Han berkata SAP yang dibangunkan PNSB Aero bersama Malaysia Airports Holdings Berhad bertujuan mewujudkan taman perindustrian aeroangkasa bertaraf antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan Selangor dalam industri berkenaan di rantau ini.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han menjawab soalan ketika ketika Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, SAP dicadang diwartakan sebagai zon bebas (Free Zone) bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, membangunkan hab logistik udara serantau serta meningkatkan daya saingnya berbanding taman perindustrian aeroangkasa di negara lain.

“Bagi tujuan tersebut, PNSB Aero telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada September lalu bagi cadangan berkenaan.

“Susulan itu, beberapa sesi libat urus akan diadakan bagi memperinci aspek dasar, pengoperasian, perundangan serta perkara yang berkaitan bagi memastikan cadangan pelaksanaan Free Zone ini dapat dipertimbangkan dan direalisasikan,” katanya.

Ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sektor aeroangkasa merupakan antara tunjang rancangan itu dalam menarik pelaburan bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab aeroangkasa utama serantau.

Menurutnya, pembangunan SAP dan Subang Airport Regeneration Plan (SARP) berupaya merancakkan subsektor industri termasuk logistik, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan peralatan pesawat serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.