SHAH ALAM, 7 OGOS: Selangor menyasarkan penggunaan pengangkutan awam meningkat kepada 60 peratus berbanding kira-kira 40 peratus ketika ini menerusi peluasan dan pengukuhan jaringan pengangkutan awam negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu merupakan sebahagian daripada Misi Kedua Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memberi tumpuan kepada pembentukan sistem pengangkutan awam lebih bersepadu dan mesra pengguna.
Katanya, antara perancangan termasuk pembangunan Jajaran Rel Selangor yang menghubungkan kawasan di pantai barat dengan Lembah Klang menerusi sistem rel sepenuhnya atau gabungan rel dan bas rapid transit (BRT).
Amirudin berkata pendekatan gabungan berkenaan turut bertujuan meminimumkan kos pembangunan infrastruktur negeri.
“Menerusi Selangor Mobility, Kerajaan Negeri akan menyesuaikan semula pelaksanaan DRT agar pengangkutan tersebut difokuskan untuk menggerakkan rakyat ke kawasan komersial.
“Sementara itu, kita akan meningkatkan kekerapan pengangkutan awam yang akan berfungsi membawa penumpang dari stesen bas ke stesen-stesen LRT dan MRT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul RS-2 bertemakan 'Memimpin Pertumbuhan, Memacu Kemakmuran, Menerajui Asean' pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada kemudahan yang menghubungkan pengguna dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada.
Katanya, persekitaran 'walkable cities' akan diwujudkan menerusi pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dalam lingkungan 500 meter dari setiap stesen tren.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.

Malah, katanya, Selangor akan mewajibkan satu hentian bas di setiap kawasan Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan bagi memudahkan penduduk menggunakan pengangkutan awam.
“Untuk merealisasikan hasrat ini, Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor akan merangkumi setiap aspek yang dinyatakan supaya Selangor dapat menjadi satu-satunya negeri yang menawarkan sistem pengangkutan awam yang mesra pengguna,” katanya.
Langkah berkenaan melengkapkan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh hubungan antara pelbagai mod pengangkutan, termasuk rel, BRT dan DRT dengan rangkaian LRT serta MRT sedia ada.

April lalu, Media Selangor melaporkan Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor yang merangkumi pembangunan menyeluruh jaringan pengangkutan awam dijangka dilancarkan tahun depan.
EXCO Mobiliti, Ng Sze Han dilaporkan berkata draf pertama pelan berkenaan, yang turut mengambil kira keperluan masa depan termasuk laluan pejalan kaki, dijangka siap menjelang Ogos ini.







