MB: Roboh struktur, rampas tanah antara langkah tangani banjir

24 Nov 2026, 8:38 AM
MB: Roboh struktur, rampas tanah antara langkah tangani banjir
MB: Roboh struktur, rampas tanah antara langkah tangani banjir

SHAH ALAM, 24 NOV: Tindakan perobohan struktur tertentu dan rampasan tanah yang dikenal pasti menjadi punca kejadian banjir akan dilakukan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah itu daripada terus berulang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan itu akan dilaksanakan seawal Mac 2027, selain mengingatkan pihak berkaitan supaya memahami keperluan langkah berkenaan sebelum mengemukakan bantahan.

“Saat kita mahu tambah nilai ekonomi, banjir tetap jadi fokus. Cumanya akan ada beberapa perkara terpaksa dikorbankan. Mungkin terpaksa buat rampasan atau perobohan.

“Ada kawasan, kalau kita nak selesaikan kena ambil tindakan ini termasuk di kawasan dataran banjir. Jadi kalau ada nak bantah, tanya dahulu,” katanya ketika menggulung Bajet Peruntukan Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri pernah mengambil tindakan sama bagi menangani masalah banjir dan langkah itu terbukti memberi kesan positif kepada penduduk sekitar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan penggulungan ketika Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2026. Foto REMY ARIFIN / MEDIA SELANGOR

“Contohnya Sungai Kedondong dan Sungai Pelempas (roboh rumah). Ada bantahan penduduk tetapi kalau tak buat, isu akan terkandas dan tak dapat selesaikannya,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Amirudin berkata semua projek pembangunan termasuk infrastruktur awam yang gagal mematuhi syarat penyediaan kolam takungan boleh dikenakan arahan henti kerja, termasuk penarikan balik kelulusan kebenaran merancang.

Beliau turut mengarahkan PBT menjalankan siasatan dan inventori terhadap semua projek pembangunan bagi memastikan syarat berkaitan mitigasi banjir dipatuhi.

Amirudin berkata pertemuan bulanan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diadakan bagi memperkemas tindakan menangani banjir.

Katanya, kelemahan komunikasi antara pihak berkaitan dikenal pasti sebagai antara punca masalah itu, justeru penyelarasan di setiap peringkat perlu dipertingkat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.