Banjir di Meru: Pemaju disiasat, kebenaran pembangunan boleh ditangguh - MB

23 Nov 2026, 2:19 PM
Banjir di Meru: Pemaju disiasat, kebenaran pembangunan boleh ditangguh - MB
Banjir di Meru: Pemaju disiasat, kebenaran pembangunan boleh ditangguh - MB

KUALA SELANGOR, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan menyiasat pihak pemaju susulan dakwaan pembangunan tidak terancang di sekitar Sungai Binjai antara faktor kejadian banjir di Meru, Klang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata siasatan itu bertujuan mengenal pasti punca sebenar banjir, termasuk meneliti aspek pembangunan serta keadaan kolam takungan yang disediakan pihak pemaju.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut akan meneliti tanggungjawab pemaju dalam memastikan kolam takungan dibina dan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan risiko banjir.

“Kegagalan memenuhi tanggungjawab itu boleh menyebabkan tindakan dikenakan terhadap syarikat atau individu terbabit, termasuk menangguhkan kebenaran meneruskan kerja pembangunan sehingga semua keperluan dipenuhi.

“Kita akan kenakan tindakan juga untuk pastikan mereka buat dahulu, baru kita akan beri kebenaran untuk melanjutkan kerja-kerja mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan terjejas di RTB Sungai Buloh, Kuala Selangor, hari ini.

Amirudin menegaskan siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan pemaju mematuhi keperluan pembangunan yang ditetapkan, khususnya membabitkan penyediaan kolam takungan sebagai langkah mitigasi banjir.

Menurut beliau, keadaan Sungai Binjai yang tidak lagi melimpah membantu mengurangkan kesan banjir di kawasan Jalan Paip, sekali gus mengurangkan jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai.

“Dulu mangsa sampai lebih 100 keluarga, 140 keluarga. Tetapi apabila Sungai Binjai tidak melimpah, kawasan Jalan Paip yang dahulu selalu banjir, itu yang menyebabkan jumlah mangsa di SK Binjai berkurangan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Binjai yang selesai dilaksanakan berjaya mengurangkan risiko banjir di kawasan itu apabila hanya sekali pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka tahun ini.

Beliau berkata kebiasaan sebelum ini PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dibuka sekurang-kurangnya dua kali setahun, malah pernah mencecah empat hingga lima kali dalam tempoh setahun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.