MB: Tidak tunggu projek besar siap, Selangor giat laksana mitigasi segera

5 Nov 2026, 8:33 AM
MB: Tidak tunggu projek besar siap, Selangor giat laksana mitigasi segera
MB: Tidak tunggu projek besar siap, Selangor giat laksana mitigasi segera
MB: Tidak tunggu projek besar siap, Selangor giat laksana mitigasi segera
MB: Tidak tunggu projek besar siap, Selangor giat laksana mitigasi segera

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri tidak menunggu projek tebatan banjir berskala besar siap, sebaliknya mempercepat pelaksanaan 255 projek mitigasi segera bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko tinggi di seluruh Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 70 peratus daripada projek berkenaan yang membabitkan peruntukan hampir RM70 juta sudah disiapkan, manakala bakinya disasarkan selesai menjelang akhir tahun ini.

“Kerajaan Negeri tidak menjanjikan banjir hilang sekelip mata apatah lagi berhadapan isu perubahan iklim yang semakin ekstrem.

“Banjir yang berlaku baru-baru ini diakibatkan oleh taburan hujan luar biasa yang mengatasi purata taburan hujan normal,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata sebanyak 105 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) jangka panjang dengan kos keseluruhan RM4.28 bilion turut sedang dilaksanakan di seluruh Selangor dan dijadual siap secara berperingkat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan petugas khas bersama Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Disember 2024 bagi menghapuskan budaya kerja secara silo dalam menangani masalah banjir.

Katanya, penyelarasan itu penting bagi memastikan semua agensi bergerak secara bersepadu untuk mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

“Pada masa sama Selangor dan Kuala Lumpur turut memperkukuh kerjasama menerusi pelan lima langkah, termasuk menilai kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gates serta mengenal pasti lokasi kolam takungan baharu di kawasan hulu,” ujarnya.

Amirudin turut menyifatkan kejayaan menangani masalah gangguan bekalan air bersih sebelum ini sebagai contoh keberkesanan perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat keadaan jambatan Sungai Subang yang mengalami kerosakan akibat banjir kilat di Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 4 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah, sedar atau tidak, hari ini kita kurang mendengar rakyat Selangor merungut bekalan air yang tiada seperti satu masa dulu.

“Insya-Allah saya juga yakin dengan rancangan jangka panjang ini, Kerajaan Negeri sedang membina Selangor yang lebih beradaptasi menghadapi perubahan iklim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan kepada penduduk terjejas akibat banjir sementara projek mitigasi terus dilaksanakan.

Beliau menegaskan usaha menangani masalah banjir kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri tanpa mengira tempat dan masa demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.