SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi merobohkan 19 struktur kilang tanpa kebenaran di Pulau Indah, Klang bermula semalam hingga 15 Mei ini.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata operasi itu dijalankan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara terhadap struktur kilang yang beroperasi tanpa mematuhi undang-undang tanah, perancangan dan kawalan pembangunan.

"Operasi melibatkan perobohan struktur kilang yang beroperasi tanpa mematuhi undang-undang tanah, perancangan dan kawalan pembangunan termasuk tindakan pemotongan utiliti," katanya menerusi kenyataan media.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati pengusaha terbabit telah menjalankan operasi kilang tanpa kebenaran di tapak berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu, selain tiada rekod Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pernah dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kilang tersebut.
Katanya, beberapa permohonan pemberimilikan tanah sekitar 2019 hingga 2020 juga telah ditolak.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses libat urus serta arahan pengosongan tapak yang telah dimulakan sejak awal 2025, sebelum notis pertama diserahkan pada 3 Mac tahun sama.

Susulan itu, tindakan berperingkat termasuk lawatan tapak, pemantauan, pemasangan hebahan serta penyerahan notis terakhir pada 7 April dilaksanakan sebelum operasi perobohan bermula pada 10 Mei lalu.
Menurut Suee Lim, langkah ini membuktikan penguatkuasaan dibuat secara munasabah dan berperingkat bagi memastikan tanah kerajaan dipelihara, kawasan industri disusun semula serta kepentingan awam tidak terus terjejas akibat aktiviti yang tidak mematuhi undang-undang.
Operasi berkenaan melibatkan kira-kira 300 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang, Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Selangor.









