SHAH ALAM, 24 NOV: Pelaksanaan Program Nutrisi Selangor (NutriSEL) yang diperluas kepada 71,152 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 membantu memenuhi keperluan pemakanan pelajar selain meringankan beban ibu bapa.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu turut mendidik generasi muda mengambil makanan berkualiti demi kepentingan kesihatan dan masa depan mereka.
“Untuk NutriSEL SPM, kita laksanakan sepanjang lima hari peperiksaan mata pelajaran teras dan ini memanfaatkan lebih 70,000 pelajar secara keseluruhannya.
“Pelancaran program ini juga dapat kurangkan kos ibu bapa menghantar makanan dan beri peluang kepada anak-anak dapatkan makanan gizi sempurna,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Semalam, NutriSEL memanfaatkan 71,152 calon SPM di 256 sekolah seluruh Selangor dengan semua calon menerima set makanan tengah hari bernutrisi bagi lima hari peperiksaan mata pelajaran teras.

Usaha itu mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak termasuk pengguna media sosial. Antaranya pemilik akaun di aplikasi Threads,@hayatiabdullah782 yang memuji tindakan pentadbiran dalam menyediakan makanan berkenaan.
Menurutnya, sebagai ibu bapa, beliau lega apabila pelajar yang menduduki peperiksaan terbabit masuk ke dewan dalam keadaan kenyang selepas menerima juadah nasi tomato secara percuma.
NutriSel yang diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dilaksanakan dari 3 Ogos hingga 3 Disember ini, membabitkan lebih 100,000 pelajar daripada 962 sekolah di seluruh Selangor.
Program itu menyediakan bantuan sarapan percuma kepada pelajar, khususnya daripada keluarga B40 berpendapatan di bawah RM2,000, dengan peruntukan keseluruhan RM14.4 juta.
Inisiatif berkenaan turut diperluas menerusi pelaksanaan Mega NutriSel pada pertengahan Oktober lalu bagi memperkukuh usaha Kerajaan Negeri menyediakan sokongan pemakanan kepada golongan pelajar.











