NutriSel 2027 dilaksana enam bulan mulai April, sasar 100,000 pelajar

24 Nov 2026, 3:35 AM
NutriSel 2027 dilaksana enam bulan mulai April, sasar 100,000 pelajar
NutriSel 2027 dilaksana enam bulan mulai April, sasar 100,000 pelajar
NutriSel 2027 dilaksana enam bulan mulai April, sasar 100,000 pelajar

SHAH ALAM, 24 NOV: Program Nutrisi Selangor (NutriSel) yang menyediakan makanan berkhasiat kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan dilaksanakan selama enam bulan pada tahun depan, bermula April.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan program itu melibatkan kos RM24 juta menerusi sumbangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Tahun ini, NutriSel dilaksanakan PBT dengan Kerajaan Negeri. Tahun depan kita laksanakan enam bulan mulai April, berbanding tahun ini hanya berlangsung tiga bulan.

“Jika dapat maklum balas yang baik, kita akan teruskan sebab kosnya tidak terlalu besar malah memberi manfaat kepada guru-guru dan pelajar,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada 13 November lalu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri meneruskan NutriSel dengan sasaran memberi manfaat kepada 100,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

Menurutnya, program berkenaan menawarkan sarapan atau makan tengah hari percuma dua kali seminggu sebagai usaha menangani masalah malnutrisi dalam kalangan murid.

NutriSel yang diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dilaksanakan dari 3 Ogos hingga 3 Disember ini, membabitkan lebih 100,000 pelajar daripada 962 sekolah di seluruh Selangor.

Program itu menyediakan bantuan sarapan percuma kepada pelajar, khususnya daripada keluarga B40 berpendapatan di bawah RM2,000, dengan peruntukan keseluruhan RM14.4 juta.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama pelajar ketika program serahan Nutrisi Selangor (NutriSel dan MegaNutrisel) kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Shah Alam pada 23 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Inisiatif berkenaan turut diperluas menerusi pelaksanaan Mega NutriSel pada pertengahan Oktober lalu bagi memperkukuh usaha Kerajaan Negeri menyediakan sokongan pemakanan kepada golongan pelajar.

Semalam, program itu turut memanfaatkan 71,152 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 256 sekolah seluruh Selangor menerusi NutriSel SPM 2026.

Menerusi inisiatif berkenaan, calon menerima set makanan tengah hari bernutrisi bagi lima hari peperiksaan mata pelajaran teras.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.