EXCO: Kebajikan pekerja gig jadi fokus Selangor 2027

23 Nov 2026, 12:00 PM
EXCO: Kebajikan pekerja gig jadi fokus Selangor 2027
EXCO: Kebajikan pekerja gig jadi fokus Selangor 2027
EXCO: Kebajikan pekerja gig jadi fokus Selangor 2027

KUALA LANGAT, 23 NOV: Kebajikan pekerja ekonomi gig menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri tahun depan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata Karnival Kerjaya Jobcare Selangor yang diteruskan tahun depan akan memberi tumpuan lebih khusus kepada pekerja gig, termasuk menawarkan kursus dan latihan kemahiran.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kemahiran pekerja gig sekali gus membuka peluang kerjaya lebih baik.

“Kita ada ramai pekerja gig di Selangor iaitu kira-kira lebih 600,000 orang. Kita juga memperuntukkan jumlah yang besar pada tahun depan melibatkan sebanyak RM11 juta.

“Kita tidak mahu mereka selama-lamanya menjadi pekerja e-hailing. Kita akan buka peluang untuk ambil bahagian dalam TVET. Kalau mereka berminat boleh hubungi pejabat saya atau pihak Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC),” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah daripada TNB sempena Sambutan Deepavali DUN Banting di Ladang Sungai Sedu pada 22 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui pada sambutan Hari Deepavali peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung berbilang kaum di Ladang Sungai Sedu di sini, malam tadi.

Papparaidu berkata usaha memperkasa kebajikan pekerja gig juga selaras dengan permintaan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari supaya Kerajaan Negeri terus memberi perhatian dan bantuan kepada golongan berkenaan.

“Kita tidak boleh lepaskan pekerja gig seperti itu. Walaupun kita ada beberapa akta, tetapi itu tidak cukup.

"Mereka perlu pilih satu kursus sebagai kerjaya tetap akan datang. E-hailing atau p-hailing boleh menjadi sekadar kerja sambilan demi masa depan keluarga,” katanya.

Penghantar makanan Grab mengambil pesanan menerusi e-bazar Ramadan Selangor di bawah PLATS dan Grab Malaysia di e-dapur Bandar Utama, Damansara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi Belanjawan Selangor 2027, Kerajaan Negeri akan menyediakan Baucar Kita Selangor Gig sebanyak RM100 sebulan selama setahun kepada 5,000 anak Selangor yang bekerja sebagai penunggang p-hailing berdaftar.

Amirudin berkata baucar itu turut disekalikan dengan program latihan pendedahan teknologi dan peluang industri baharu menerusi modul latihan ekspres.

Katanya, program latihan berkenaan akan dilaksanakan oleh STDC dengan kos sebanyak RM10 juta.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.