SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri bercadang memperluas peluang latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada pekerja gig bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan berkenaan.
EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama agensi berkaitan termasuk Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL).
“Latihan ini boleh merangkumi kemahiran teknikal, keusahawanan dan digital bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan jawapan bertulis EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu yang tidak dapat hadir ke persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) kerana cuti sakit.
Soalan berkenaan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunarajah yang ingin tahu mengenai insiatif atau bantuan bagi membantu pemandu e-hailing yang berdaftar di Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Kerajaan Negeri telah melaksanakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bagi membantu penggiat ekonomi gig, khususnya penghantar makanan dan barangan, yang berakhir pada 2023.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut mengambil perhatian terhadap pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] yang berkuat kuasa pada 1 April 2026.
“Melalui skim LINDUNG Kendiri PERKESO, pemandu e-hailing yang berdaftar dan mencarum boleh menikmati perlindungan sosial tertakluk kepada syarat kelayakan, termasuk faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal serta faedah kepada orang tanggungan,” katanya.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2027, Kerajaan Negeri akan menyalurkan Baucar Kita Selangor Gig sebanyak RM100 sebulan selama setahun kepada 5,000 anak Selangor yang bekerja sebagai penunggang p-hailing berdaftar.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari baucar berkenaan akan disekalikan dengan program latihan pendedahan teknologi serta peluang industri baharu yang mampu diceburi melalui modul latihan ekspres.
Beliau berkata program latihan berkenaan akan dilaksanakan oleh STDC dengan kos sebanyak RM10 juta.







