Selangor akan bincang dengan syarikat gig, pastikan pekerja dilindungi

23 Nov 2026, 4:00 AM
Selangor akan bincang dengan syarikat gig, pastikan pekerja dilindungi
Selangor akan bincang dengan syarikat gig, pastikan pekerja dilindungi

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan ekonomi gig bagi memastikan pekerja mereka didaftarkan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau syarikat insurans.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata langkah itu bertujuan memastikan kebajikan dan perlindungan sosial pekerja gig terus terjamin.

“Akta 789 ditubuhkan Kerajaan Persekutuan di mana syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan seperti ini wajib berdaftar dengan PERKESO, jika gagal akan ambil tindakan. Ini supaya pekerja gig tidak terabai atau disalah guna.

“Oleh itu, kalau kita adakan mesyuarat dengan syarikat-syarikat terbabit bagus...kita akan mulakan di Selangor dan menasihatkan mereka supaya daftar pekerja, insurans mereka cover (lindung),” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah berhubung caruman dan perlindungan insurans yang disediakan syarikat kepada pekerja gig pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Papparaidu memaklumkan seramai 13,062 pekerja gig di Selangor berdaftar dan mencarum secara aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Selain itu, seramai 6,218 orang menerima bayaran faedah berjumlah RM23.07 juta di bawah LINDUNG Kendiri, termasuk pekerja gig, setakat 30 Oktober lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri terus memperluas peluang pekerjaan formal kepada rakyat termasuk pekerja gig menerusi pelbagai inisiatif.

“Antara pendekatan utama adalah melalui penganjuran karnival kerjaya yang menyediakan platform padanan pekerjaan secara langsung antara pencari kerja dengan pihak majikan, sekali gus membuka peluang kepada pekerja gig untuk beralih kepada pekerjaan yang lebih stabil dan bersesuaian dengan kemahiran serta kelayakan mereka.

“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa program kerjaya, antaranya Karnival Kerjaya Jelajah JobCare Selangor, Karnival Kerjaya JobCare Istimewa Selangor, Mega JobCare Selangor 2026 dan Selangor Career Outreach (SCOUT) Talent Expo 2026,” ujarnya.

Katanya, Selangor akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), PERKESO dan pihak industri melalui program padanan pekerjaan, peningkatan kemahiran (upskilling) serta latihan semula (reskilling).

“Pendekatan ini bertujuan menyediakan laluan peralihan kepada pekerja gig yang berhasrat menceburi sektor pekerjaan formal, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran, kestabilan pendapatan dan akses kepada perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.