SHAH ALAM, 16 NOV: Inisiatif yang disediakan untuk pekerja gig dijangka berupaya mengubah haluan hidup kelompok itu daripada hanya bekerja sementara kepada memiliki pekerjaan lebih stabil.
Pensyarah Kanan Ekonomi Siti Asmahan Mohd Ali dari Universiti Sains dan Pengurusan berkata ia ekoran Belanjawan Selangor 2027 menyediakan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran semula (reskilling).
Katanya, latihan itu membantu mereka memperoleh sijil kemahiran dan kelayakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebelum menceburi bidang pekerjaan lain seperti sektor perindustrian, bengkel atau pekerjaan pejabat.
"Ramai memilih pekerjaan gig sebagai kerjaya sedangkan pekerjaan ini memerlukan tenaga fizikal dan tidak semestinya menjamin pendapatan stabil untuk jangka panjang.
"Apabila mereka mendapat latihan dan sijil kemahiran, mereka ada peluang untuk beralih ke pekerjaan lain yang lebih terjamin," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Dalam Belanjawan Selangor 2027, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Baucar Kita Selangor Gig sebanyak RM100 sebulan kepada 5,000 pekerja p-hailing berdaftar dari kalangan anak negeri.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata baucar itu disekali dengan program latihan pendedahan teknologi dan peluang industri baharu untuk diceburi mereka melalui modul latihan ekspres.
Program berkenaan akan dijalankan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) melalui peruntukan RM10 juta termasuk latihan.
Siti Asmahan menganggap langkah berkenaan sangat penting kerana golongan pekerja p-hailing berdepan kesukaran untuk mendapatkan kemudahan kewangan berikutan pendapatan tidak tetap.
Justeru, katanya, kemakmuran ekonomi Selangor yang mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.2 peratus dapat dirasai golongan berpendapatan rendah termasuk pekerja gig.
"Maju untuk siapa? Kemajuan itu sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat pada peringkat akar umbi termasuk memastikan mereka mempunyai makanan, pakaian dan tempat tinggal mencukupi.
"Kerajaan juga perlu memperbanyakkan rumah mampu milik supaya golongan seperti penghantar makanan berpeluang memiliki kediaman sendiri," katanya lagi.
Beliau juga menegaskan kemajuan sesebuah negeri tidak harus diukur berdasarkan pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan manfaat yang diterima masyarakat.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan kemakmuran negeri bukan hanya tertumpu kepada sektor industri dan perniagaan tetapi dirasai golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
Namun, katanya, keteguhan ekonomi memberi ruang pentadbiran negeri merancang banyak inisiatif bagi memenuhi keperluan rakyat meliputi pendidikan, pembangunan, kemahiran dan kebajikan.
"Kerajaan bukan sekadar perlu memberi bantuan tetapi turut menyediakan peluang supaya rakyat mempunyai kemahiran dan kelayakan untuk meningkatkan pendapatan sendiri.
"Apabila seseorang memperoleh sijil TVET atau kemahiran tertentu, mereka boleh bergerak ke hadapan, mendapatkan pekerjaan lebih baik atau membangunkan perniagaan kecil," katanya.









