MB: Selangor perkukuh pasukan petugas banjir, tidak tubuh agensi baharu

22 Nov 2026, 9:17 AM
MB: Selangor perkukuh pasukan petugas banjir, tidak tubuh agensi baharu
MB: Selangor perkukuh pasukan petugas banjir, tidak tubuh agensi baharu

PETALING JAYA, 22 NOV: Kerajaan Selangor akan menambah baik pasukan petugas pengurusan banjir sedia ada berbanding menubuhkan agensi pengurusan bencana baharu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penubuhan agensi baharu memerlukan masa untuk membentuk struktur organisasi serta menyelaraskan kerjasama dengan agensi lain.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri akan memperluas peranan pasukan petugas yang ditubuhkan pada 2024, diketuai beliau sendiri bersama beberapa EXCO Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan.

“Agensi sedia ada seperti unit pengurusan bencana sudah tersedia, khususnya untuk mengendalikan bencana apabila ia berlaku.

“Fokus kita sekarang adalah untuk menangani bencana sebelum ia berlaku, termasuk membuat ramalan dan mengenal pasti potensi risiko supaya kita dapat memberi amaran kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Program Madani Kita di Dewan Serbaguna PJS6 di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Madani Kita di Dewan Serbaguna PJS6, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 22 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan wartawan veteran Tan Sri Johan Jaafar supaya Selangor menubuhkan sebuah agensi pengurusan bencana khusus bagi menyelaras persediaan dan tindak balas terhadap krisis secara lebih tersusun serta menyeluruh.

Johan yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Media Selangor mencadangkan agensi berkenaan diketuai penjawat awam kanan yang turut berperanan sebagai jurucakap pengurusan bencana dan krisis.

Amirudin merakamkan penghargaan atas cadangan itu dan memaklumkan Kerajaan Negeri turut merancang menambah baik papan pemuka pemantauan banjir dengan menyediakan maklumat kawasan berisiko, khususnya lokasi yang sedang menjalani projek mitigasi.

Menurutnya, papan pemuka berkenaan turut memaparkan perkembangan pelaksanaan projek termasuk jadual penyiapannya menerusi pendekatan data terbuka.

“Maklumat ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa supaya orang ramai tahu kawasan mana yang mungkin terjejas dan sejauh mana kemajuan projek mitigasi,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata jumlah lokasi berisiko banjir di Selangor berkurang daripada kira-kira 200 kepada 56 kawasan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kejadian banjir berulang masih membimbangkan, khususnya di kawasan seperti Puncak Alam dan Bukit Malawati di Kuala Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.