GOMBAK, 21 NOV: Rakyat Selangor disifatkan sebagai masyarakat terpelajar yang mampu menilai pencapaian kerajaan secara rasional, tanpa mudah dipengaruhi emosi atau sentimen sehingga mengetepikan fakta dan usaha sebenar.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rakyat perlu menilai pihak yang bersungguh-sungguh menjana pertumbuhan ekonomi, memulihkan negara dan meningkatkan martabat Malaysia, bukannya membuat pertimbangan berdasarkan emosi semata-mata.
Jelas beliau, pencapaian negara termasuk pengiktirafan di peringkat antarabangsa perlu dilihat sebagai hasil usaha bersama, dengan Selangor turut memainkan peranan penting sebagai antara pemacu utama ekonomi dan pembangunan negara.
"Saya percaya majoriti rakyat negeri ini berfikir dengan waras. Lihat siapa yang betul-betul berusaha menjayakan ekonomi, memulihkan negara dan memartabatkan negara.
"Perdana Menteri pergi ke luar negara, ke mana-mana dihormati. Mereka bangga dan yakin Malaysia menjadi negara yang baik serta contoh, dan Selangor adalah pemacu pentingnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Gombak di Dewan Rakyat Batu Caves yang disertai lebih 1,000 penduduk.
Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin dapat meneruskan agenda pembangunan sedia ada dengan syarat rakyat memahami usaha yang dilaksanakan serta bersedia bergerak bersama demi masa depan negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata kemajuan tidak boleh dinilai berdasarkan angka pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan semata-mata, sebaliknya manfaat pembangunan perlu turut dirasai rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang sampai ke peringkat akar umbi.
Tegasnya lagi, kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia mendengar pandangan, menerima teguran dan memperbetulkan kelemahan melalui rundingan serta perbincangan dengan rakyat.
“Pengalaman mentadbir sejak 2008 mengajar Kerajaan Negeri supaya sentiasa berubah ke arah lebih baik bagi mengelakkan kesilapan berulang dan memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian.
"Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang bersedia mendengar, melihat, menyerap semua tekanan dan membetulkan kesilapan.
"Kita mengakui jika silap, kita perbetulkan, berunding dan berbincang dengan rakyat kerana semangat memperbaiki diri serta muhasabah penting untuk kejayaan masa depan," katanya.









