PETALING JAYA, 22 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi kuasa menggantung projek pembangunan yang gagal memenuhi spesifikasi mitigasi banjir yang ditetapkan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan pemaju menyediakan langkah tebatan banjir mencukupi dalam projek pembangunan terutama kolam takungan dan sistem perparitan sepanjang tempoh pembinaan serta selepas projek siap.
“Pembangunan mesti disertai perancangan rapi dengan mengambil kira risiko banjir setempat dan faktor lain yang berkaitan.
“Sebagai contoh, ketika kita melaksanakan pembangunan stadium, saya menekankan kepentingan menangani potensi banjir di kawasan itu. Mujurlah, ketika banjir pada 4 November lalu, kolam takungan stadium berupaya menampung sejumlah besar air. Jika tidak, keadaan di Seksyen 13 mungkin jauh lebih buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Madani Kita di Dewan Serbaguna PJS6, di sini, hari ini.
Amirudin diminta mengulas kebimbangan berhubung pembangunan berlebihan yang didakwa menyumbang kepada kejadian banjir di negeri ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerja pembinaan juga boleh menyebabkan sistem perparitan terhalang atau rosak, sekali gus berpotensi memburukkan keadaan banjir sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
“Ini menunjukkan betapa pentingnya memastikan setiap projek pembangunan dilengkapi langkah tebatan banjir yang diperlukan,” katanya.
Pada 6 November, Dato’ Menteri Besar mengarahkan semua kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sementara pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula susulan kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut.
Beliau berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah memastikan aspek keselamatan rakyat diberi keutamaan, khususnya di kawasan yang berdepan risiko banjir.
Tegas Amirudin, pihaknya turut mengarahkan semua kerja mitigasi banjir sama ada berskala kecil atau besar, dipercepatkan terutama di kawasan berisiko tinggi.







