MB: Selangor sedia tambah bantuan demi kehidupan wajar

21 Nov 2026, 8:00 AM
MB: Selangor sedia tambah bantuan demi kehidupan wajar
MB: Selangor sedia tambah bantuan demi kehidupan wajar
MB: Selangor sedia tambah bantuan demi kehidupan wajar
MB: Selangor sedia tambah bantuan demi kehidupan wajar
MB: Selangor sedia tambah bantuan demi kehidupan wajar

GOMBAK, 21 NOV: Kerajaan Selangor bersedia menambah peruntukan termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sekiranya penilaian semula kadar kemiskinan berdasarkan kos sara hidup sebenar mendapati bantuan sedia ada belum mencukupi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedang merangka dasar baharu berkaitan pendapatan bermaruah dan kadar kehidupan wajar bagi memastikan kesejahteraan rakyat dinilai berdasarkan perbelanjaan sebenar isi rumah.

Menurutnya, meskipun Selangor berjaya menghapuskan kemiskinan tegar berdasarkan garis kemiskinan semasa, ukuran tersebut belum semestinya menggambarkan kualiti kehidupan sebenar rakyat.

"Kita tidak akan puas hati kerana kita tahu kemiskinan tegar berdasarkan garis kemiskinan, sedangkan kualiti kehidupan kita berdasarkan harga sebenar.

"Kita sedang merangka satu dasar dan mungkin perlu menambah peruntukan. Saya sedia untuk berbelanja lagi kerana kita mahu melihat kadar pendapatan bermaruah dan kehidupan wajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Kita (PMK) Gombak di Dewan Rakyat Batu Caves yang dihadiri lebih 1,000 penduduk hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Jelajah Madani di Dewan Terbuka Padang Kampung Baru, Taman Batu Caves, Gombak pada 21 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata, untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri akan meneliti setiap data dan angka berkaitan pendapatan serta komitmen perbelanjaan isi rumah bagi mengenal pasti golongan yang masih berdepan tekanan kewangan walaupun mempunyai pendapatan yang kelihatan tinggi.

Menurutnya, sekiranya penilaian itu mendapati bantuan sedia ada tidak mencukupi, Selangor bersedia menambah peruntukan BINGKAS dan memperkenalkan program sokongan lain.

“Ini semua kita akan lancarkan di pertengahan kedua tahun 2027 nanti,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan peruntukkan RM3.3 bilion bagi Belanjawan Selangor 2027 sudah diluluskan Dewan Negeri Selangor dengan sokongan lebih dua pertiga.

Katanya, hasil negeri turut mencatatkan lebih RM3 bilion untuk tahun kedua berturut-turut, manakala rizab negeri kini meningkat kepada RM5 bilion berbanding RM2 bilion ketika beliau mula memegang jawatan Menteri Besar.

"Timbunan wang dan hasil yang banyak bukan kebanggaan kita, tetapi kebanggaan sebenar ialah sejauh mana kita dapat menyampaikan program dan membantu memulihkan kehidupan rakyat," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.