GEORGE TOWN, 6 SEPT: Penganjuran sebarang acara sukan ketika keadaan jerebu perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet tidak terjejas, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memantau keadaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan laporan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi berkaitan.
Beliau berkata atlet yang menjalani latihan di luar perlu mematuhi garis panduan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutama ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat.
"KBS turut berbincang dan berkomunikasi dengan Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kesihatan atlet berada pada tahap baik, terutama menjelang Sukan Asia yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Sekarang ini, atlet-atlet kita sedang giat menjalani latihan dan kita mahu pastikan mereka yang menjalani latihan luar mengikut garis panduan yang telah ditetapkan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Flag Off Oregeon Tower Run Series di The TOP Atrium, di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Mohammed Taufiq turut menyertai acara larian menara itu hingga tingkat 22 dengan catatan masa 6 minit 30 saat, manakala 343 peserta menyertai acara tersebut hingga tingkat 68 The TOP Komtar.
Mengulas keadaan di Serian, Sarawak yang mencatat bacaan IPU tinggi, beliau berkata sebarang aktiviti luar di kawasan yang berada dalam zon merah tidak akan dibenarkan, namun aktiviti sukan masih boleh diteruskan di kawasan yang merekodkan bacaan IPU rendah dan berada pada tahap selamat atau sederhana.
Beliau berkata sebarang acara sukan yang ingin dianjurkan juga perlu mendapat kelulusan KBS dengan keputusan dibuat berdasarkan garis panduan kerajaan serta keadaan IPU di sesuatu kawasan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Khamis lepas memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh bahagian Serian, berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.







