SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko banjir menjelang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dari 23 hingga 27 November ini.
EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata perhatian khusus diberikan terhadap kemungkinan hujan lebat sepanjang tempoh berkenaan yang boleh meningkatkan risiko limpahan air.
“Kalau fenomena air pasang besar berlaku dan hujan lebat turun dalam tempoh tersebut, kita kena bersiap sedia kerana risiko banjir sangat tinggi.
“Apabila hujan turun, keadaan itu akan menambah kuantiti limpahan air,” katanya.
Beliau berkata pemantauan turut dilaksanakan menerusi kerjasama berterusan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), termasuk perkongsian maklumat terkini mengenai perubahan cuaca dan jangkaan risiko.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meminta persiapan di kawasan berisiko diteliti segera susulan jangkaan hujan lebih kerap menjelang fenomena air pasang besar itu.
Setakat pagi tadi, seramai 1,874 mangsa daripada 513 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Selangor susulan kejadian banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, Najwan berkata pelaksanaan projek mitigasi banjir turut dipantau bagi memastikan usaha mengurangkan risiko bencana itu berjalan lancar.
Bagaimanapun, beliau berkata projek mitigasi dan tebatan yang telah disiapkan menunjukkan perkembangan positif apabila risiko banjir di beberapa kawasan berjaya dikurangkan.
"Langkah itu penting memandangkan terdapat kawasan yang sebelum ini tidak mengalami banjir kini turut berdepan risiko berkenaan.
"Bagaimanapun, projek mitigasi dan tebatan yang telah disiapkan menunjukkan perkembangan positif apabila risiko banjir di beberapa kawasan berjaya dikurangkan," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri melaksanakan 255 projek tindakan segera mitigasi banjir di seluruh Selangor dengan peruntukan hampir RM70 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 177 projek disiapkan setakat 4 November lalu, manakala baki 78 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Projek berkenaan merangkumi pemasangan pam air, pembersihan sistem perparitan dan pembaikan tebing sungai.







