
SHAH ALAM, 18 NOV: Langkah mengehadkan penggunaan telefon bimbit mampu menjadi benteng utama dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman pedofilia.
Kebanyakan ibu bapa berpandangan bahawa pendedahan gajet tanpa pengawasan berisiko mendedahkan anak-anak kepada bahaya serta ancaman pihak tidak bertanggungjawab.
Pegawai perubatan, Dr Khadijah Abdul Aziz berkata pendedahan awal ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak memahami keutamaan mengehadkan masa skrin serta melayari media sosial.

“Gajet ini boleh dikatakan sebagai cabaran waktu ini. Jadi ibu bapa perlu ada ilmu sebelum kita mengajar mereka. Kita kena pantau. Jangan takut berkata tidak sekiranya anak minta.
“Fahamkan mereka dengan tindakan kita ambil ini. Ini untuk kebaikan mereka sendiri kerana jenayah pedofilia ini semakin membimbangkan. Jadi semuanya bermula dari ibu bapa untuk melindungi anak-anak,” katanya Ketika ditemui Media Selangor.
Sependapat dengannya, kakitangan swasta, Muhammad Afiq Muhammad Shah, 33, berkata keutuhan institusi keluarga dan hubungan erat mampu membanteras kegiatan tidak bermoral terbabit.
Jelasnya, hubungan erat dan perhatian ibu bapa menjadi kunci kepada isu ketagihan gajet.
“Kawalan penggunaan gajet ini bermula dari rumah. Ibu bapa yang mainkan peranan untuk elak anak terdedah kejayaan seksual dalam talian. Sekarang pun banyak dah kes ini dilaporkan.
“Lebih terkilan, apabila pelaku jenayah ini turut melibatkan pempengaruh (influncer). Kalau tak bendung dari awal, ia akan beri kesan besar kepada masyarakat,” katanya.

Justeru, ibu bapa turut berharap lebih banyak aktiviti kemasyarakatan mesra keluarga dianjurkan pihak kerajaan bagi menggalakkan penglibatan aktif bersama anak-anak, kata Amelia Farhana Zainuddin, 30.
“Ini sebagai satu tarikan untuk kanak-kanak tinggalkan gajet, komputer atau televisyen. Banyakkan aktiviti luar rumah, riadah. Ini juga bakal bentuk komuniti yang sihat.
“Kita pun sedia maklum. Kalau terlalu lama menggunakan gajet, ia turut beri kesan kepada kesihatan anak-anak,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan swasta," katanya.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini mengingatkan ibu bapa diingatkan agar tidak menyerahkan tanggungjawab keselamatan digital kepada penyedia platform semata-mata.
Katanya mereka sebaliknya perlu memainkan peranan proaktif memantau peranti anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terdedah kepada ancaman siber.
Dalam Ops Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0 pada September lalu, seramai 53 individu termasuk lapan kanak-kanak ditahan di seluruh negara.
Sebanyak 95 barangan termasuk 90 peranti digital dan lima alat mainan seks dirampas.
Hasil pemeriksaan awal menemui 653,193 fail digital, merangkumi lebih 540,000 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta pornografi dewasa.







