Sekatan media sosial bawah 16 tahun, cukupkah lindungi kanak-kanak?

9 Nov 2026, 6:00 AM
Sekatan media sosial bawah 16 tahun, cukupkah lindungi kanak-kanak?
Sekatan media sosial bawah 16 tahun, cukupkah lindungi kanak-kanak?
Sekatan media sosial bawah 16 tahun, cukupkah lindungi kanak-kanak?

SHAH ALAM, 9 NOV: Sekatan pemilikan akaun media sosial bagi individu bawah usia 16 tahun perlu disokong bimbingan dan pendidikan digital dalam keluarga bagi membantu kanak-kanak memahami batas penggunaan teknologi.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata pemantauan ibu bapa penting kerana kanak-kanak mungkin sukar mematuhi peraturan berkenaan tanpa pengawasan dari rumah.

“Sebenarnya apa yang paling penting di sini adalah pemantauan keluarga dan ibu bapa itu sendiri.

“Dan kawalan itu sendiri yang sangat penting daripada rumah sebab kalau kita nak menjangkakan anak kita mengikut apa peraturan tersebut mungkin agak sukar sedikit,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau turut membangkitkan kemungkinan pengguna bawah umur menyamar usia ketika mendaftar akaun, terutama sekiranya proses pendaftaran tidak cukup ketat.

“Dari segi pendaftaran akaun itu mungkin tidak terlalu ketat dan akhirnya ramai juga penyamaran berlaku, di mana kanak-kanak dan juga remaja bawah umur ini turut memiliki akaun itu,” katanya.

Literasi digital ibu bapa

Mengulas langkah perlindungan, Siti Fatimah menekankan kepentingan literasi digital dalam kalangan ibu bapa supaya mereka mengetahui kaedah mengehadkan akses anak kepada aplikasi dan kandungan tertentu.

Menurutnya, terdapat kemudahan teknologi yang membolehkan ibu bapa memilih bahan yang sesuai untuk diakses oleh kanak-kanak.

“Sebenarnya ada aplikasi yang boleh mengekang penggunaan itu untuk aplikasi-aplikasi yang tertentu sahaja, di mana bahan-bahan dan sumber rujukan itu adalah dibenarkan dan diselia ataupun dipilih oleh ibu bapa sendiri,” katanya.

Penggunaan aplikasi kawalan ibu bapa dapat membantu mengehadkan akses kepada kandungan tertentu serta mengawal tempoh penggunaan peranti digital dalam kalangan kanak-kanak. Foto hiasan AI

Beliau menjelaskan teknologi berkenaan turut boleh digunakan untuk mengawal tempoh penggunaan telefon bimbit serta memantau kandungan yang dilayari anak.

Bagaimanapun, Siti Fatimah mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengambil mudah aspek perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan mental kanak-kanak meskipun kemudahan kawalan digital tersedia.

Selain pengawasan peranti, beliau menekankan kepentingan komunikasi terbuka dalam keluarga supaya anak memahami perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika menggunakan teknologi.

Terdahulu, media melaporkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu, yang mewajibkan penyedia media sosial berlesen melaksanakan pengesahan umur minimum 16 tahun.

Bagi pemilik akaun sedia ada, proses pengesahan umur dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.