KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ibu bapa diingatkan agar tidak menyerahkan tanggungjawab keselamatan digital kepada penyedia platform semata-mata, sebaliknya perlu memainkan peranan proaktif memantau peranti anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terdedah kepada ancaman siber.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pemantauan terhadap perkara yang diakses oleh anak-anak di alam maya kini amat penting bagi membendung risiko jenayah seksual serta buli siber.
"Sekarang kita kena tahu anak tengok apa? Beri telefon bimbit kepada anak wajar dilihat seperti memberikan kereta kepada mereka, macam-macam perkara boleh berlaku kalau kita tidak awasi anak-anak kita," katanya dalam temu bual audio siar Agenda Malaysia oleh Agenda Daily, malam ini.
Beliau berkata kebimbangan itu berasas susulan kejayaan pihak polis menahan 53 individu dalam Ops Pedo 2 baru-baru ini, yang merampas lebih 54,000 fail membabitkan pemangsaan kanak-kanak secara dalam talian.
Bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa pedofilia mahupun buli siber, Fahmi menyarankan ibu bapa memanfaatkan fungsi kawalan bagi mengehadkan masa penggunaan gajet dan menyekat aplikasi berisiko, sekali gus membendung budaya melayari media sosial tanpa henti (doomscrolling).

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan bahawa penyedia platform media sosial pula berdepan dengan tindakan saman hingga RM10 juta bagi setiap kesalahan mulai awal tahun depan sekiranya ingkar dan gagal mematuhi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Beliau berkata pelaksanaan undang-undang itu bertujuan memastikan pengendali platform bertanggungjawab membendung akaun palsu, selain menyekat penularan jenayah seksual dalam talian dan buli siber.
“Apabila kita ada undang-undang yang jelas, platform (media sosial) hendak business. (Platform) hendak jana pendapatan daripada aktiviti dalam talian di Malaysia. Jadi, (platform) kena bekerjasamalah, kita bagi mereka masa. Tetapi, saya haraplah kita tidak perlu sampai ke satu tahap kita perlu saman,” katanya.
Berhubung ketetapan pengesahan identiti untuk membuka akaun media sosial, Fahmi berkata setiap warganegara memiliki dokumen rasmi seperti MyKid, surat beranak dan kad pengenalan (MyKad) sejak lahir untuk mengesahkan pengguna benar-benar berusia 16 tahun ke atas.
Langkah pengesahan itu penting memandangkan platform media sosial ketika ini dibanjiri dengan akaun palsu yang memudahkan penjenayah memperdaya mangsa, selain menyumbang kepada aktiviti penipuan dan perjudian haram.
"Hampir 90 peratus daripada semua kandungan yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) minta platform turunkan bersifat penipuan (scam) dan judi dalam talian," katanya.
Bagi menangani ancaman penipuan dalam talian yang turut memperdaya pesara dan penjawat awam, Fahmi menasihati mangsa agar segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 15 hingga 30 minit pertama selepas kejadian bagi membolehkan sekatan transaksi dibuat.
"Kita kena anggap panggilan ke talian 997 NSRC ini sama seperti kita menghubungi ambulans kerana situasi itu benar-benar dalam kecemasan. Jika hubungi dalam tempoh 15 ke 30 minit, insya-Allah pihak Bank Negara boleh sekat transaksi wang daripada dikeluarkan melalui keldai akaun," katanya.






