Sentuhan dianggap biasa, tawaran material dedah risiko eksploitasi seksual

7 Nov 2026, 6:00 AM
Sentuhan dianggap biasa, tawaran material dedah risiko eksploitasi seksual
Sentuhan dianggap biasa, tawaran material dedah risiko eksploitasi seksual
Sentuhan dianggap biasa, tawaran material dedah risiko eksploitasi seksual

SHAH ALAM, 7 NOV: Sentuhan yang dianggap biasa dan tawaran barangan yang diinginkan antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi seksual.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata perlakuan tertentu mungkin terlepas pandang apabila dianggap tidak membimbangkan.

“Ya, saya tambah lagi dari segi mungkin sentuhan. Sentuhan yang dirasakan, eh ini tak ada apa pun ya,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat juga kecenderungan menyembunyikan kejadian tertentu kerana dianggap mengaibkan, selain mengetepikan kebimbangan yang timbul sebagai salah tanggapan.

“Ada juga yang merasakan ini sesuatu yang perlu disorokkan, mengaibkan ya.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Jadi apa saja yang berlaku itu dinormalisasikan ataupun diambil sebagai pendekatan, oh tak ada apa-apa sebenarnya yang berlaku. Sebenarnya biasa-biasa sahaja, tetapi lebih kepada terlalu memikirkan sesuatu (overthinking) dan merasa salah tanggap dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perlakuan seksual terhadap kanak-kanak boleh melibatkan individu yang dikenali dan dipercayai mangsa, bukan hanya orang asing.

“Kebanyakan yang berlaku bukan disebabkan oleh orang asing, tetapi orang yang dikenali, yang dilindungi, yang dipercayai, yang mungkin juga disayangi oleh mereka ini,” katanya.

Tawaran material pengaruhi pertimbangan

Siti Fatimah turut membangkitkan bagaimana keinginan mendapatkan sesuatu yang tidak diperoleh daripada ibu bapa boleh menyebabkan mereka mudah menerima tawaran individu lain.

“Kadang-kadang kanak-kanak ini ataupun mereka yang di bawah umur, dia memerlukan sesuatu yang sangat material.

Tawaran hadiah atau barangan yang diinginkan boleh menyebabkan kanak-kanak mudah dipengaruhi tanpa menyedari risiko manipulasi dan eksploitasi seksual. Foto hiasan AI

“Jadi yang dia memang tak dapat memperoleh itu daripada ibu bapa, jadi ada orang lain yang boleh menawarkannya.

“Jadi mereka merasa, oh inilah cara dia nak dapat ini, buat ini. Jadi mereka tak rasa benda itu adalah salah,” katanya.

Ugutan halang mangsa bersuara

Mengulas mengenai kesukaran mendapatkan bantuan, beliau berkata ugutan boleh menyebabkan kanak-kanak takut menceritakan pengalaman yang dialami.

“Kadang-kadang kanak-kanak ini dia takut, betul ya. Dia takut dengan ugutan sebab kita tak tahu sejauh mana ugutan itu berlaku,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak juga mungkin tidak mengetahui tempat membuat aduan atau bentuk perlindungan yang boleh diterima sekiranya tampil.

“Jadi mereka juga tidak tahu ke mana nak dibawa ini, ke mana nak dilaporkan dan sejauh manakah tindakan yang diambil ataupun perlindungan yang mereka boleh terima sekiranya mereka tampil ke depan,” katanya.

Sokongan emosi dan perlindungan keluarga penting bagi membantu kanak-kanak yang berdepan risiko eksploitasi seksual. Foto hiasan AI

Justeru, Siti Fatimah menekankan kepentingan memastikan kanak-kanak mengetahui tindakan yang boleh diambil serta mendapat sokongan apabila tampil membuat aduan.

“Jadi mereka tak takut, mereka tahu mereka dilindungi dan mereka tidak akan dipersalahkan dan mereka akan diberikan kebajikan yang sepatutnya mereka terima.

“Jadi dengan ada jaminan sosial itu maka mereka akan lebih berani untuk tampil ke depan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.