SHAH ALAM, 8 NOV: Penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej seksual palsu yang dianggap sekadar suka-suka berisiko menjejaskan emosi dan perkembangan personaliti kanak-kanak.
Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata lambakan kandungan tanpa tapisan di media sosial boleh menyebabkan sesetengah individu memandang ringan keseriusan perbuatan tersebut.
“Pada saya ia lebih kepada lambakanlah. Lambakan informasi dan juga kandungan yang dikongsikan di sosial media.
“Yang menyebabkan kandungan-kandungan ini tidak ada tapisan dan mereka merasakan ia sekadar suka-suka ataupun tidak ada kaitan yang serius,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Kesan psikologi ancam perkembangan diri mangsa
Menurut beliau, mangsa berisiko mengalami kemurungan, ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan diri, selain reputasi mereka boleh terjejas akibat ejekan atau buli siber.
“Jadi mereka ini akan terkesan bukan sekadar dari segi emosi, boleh menyebabkan kemurungan, boleh menyebabkan reputasi, keperibadian mereka juga tercalar dan juga boleh menyebabkan gangguan mental secara serius kerana mereka akan jadi takut dan khuatir akan keselamatan.

“Dan mungkin juga boleh menjadikan punca untuk mereka diejek ataupun dibuli ataupun disalah tafsir,” katanya.
Siti Fatimah turut menjelaskan bahawa kecederaan emosi akibat perbuatan berkenaan berpotensi mengganggu perkembangan diri kanak-kanak dan remaja secara menyeluruh.
“Jadi perkembangan untuk kendiri mereka tu agak terjejas dan kecederaan emosi itu boleh memungkinkan gangguan dari segi perkembangan personaliti dan juga kehidupan merekalah secara menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, lebih 300 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan dilaporkan menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan AI, dengan imej berkenaan didakwa turut dijual menerusi aplikasi Telegram.
Pada 17 Oktober lalu, polis mengesahkan menerima lima laporan daripada ibu bapa dan penjaga mangsa berusia 14 hingga 17 tahun berhubung penyebaran imej yang dimanipulasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
AI boleh hasilkan video palsu, cetus kekeliruan
Mengulas mengenai kemampuan teknologi tersebut, Siti Fatimah berkata AI bukan sahaja boleh menghasilkan gambar palsu, malah video bergerak yang boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kesahihannya.

“Malahan yang paling menakutkan ia bukan sekadar gambar tetapi juga dari segi bentuk video yang boleh bergerak.
“Jadi itu yang memungkinkan benar ke, betul ke ataupun tidak ke benda ini kan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan penyalahgunaan teknologi berkenaan dijadikan sumber pendapatan oleh sesetengah individu, yang mungkin tidak melihat perbuatan itu sebagai satu kesalahan jenayah.
“Jadi perkara ini boleh juga dikatakan sebagai pulangan, memberikan pendapatan juga kepada sesetengah orang.
“Jadi mereka tidak melihat itu sebagai jenayah dan mereka tidak merasakan itu adalah sesuatu yang perlu dielakkan,” katanya.
Justeru, Siti Fatimah menegaskan bahawa penyalahgunaan AI tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya memerlukan kesedaran masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual.









