Cegah eksploitasi seksual kanak-kanak, pakar kongsi kaedah STOP

10 Nov 2026, 7:00 AM
Cegah eksploitasi seksual kanak-kanak, pakar kongsi kaedah STOP
Cegah eksploitasi seksual kanak-kanak, pakar kongsi kaedah STOP
Cegah eksploitasi seksual kanak-kanak, pakar kongsi kaedah STOP

SHAH ALAM, 10 NOV: Kaedah STOP yang merangkumi Semak, Tapis, Otak dan Pilih boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak menggunakan media sosial dengan lebih selamat, sekali gus membantu mengurangkan risiko eksploitasi seksual.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata pendekatan itu membimbing pengguna menilai kewajaran sesuatu kandungan sebelum berkongsi di media sosial.

“Kita guna kaedah STOP. S yang pertama adalah semak dahulu sebelum kita berkongsi apa-apa kandungan di media sosial kita.

“Walaupun ia adalah hak peribadi, tetapi kita perlu semak adakah ia wajar, tak wajar, boleh ataupun tak boleh,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, langkah Tapis menekankan pemilihan maklumat yang baik dan bermanfaat, manakala Otak merujuk kepada penggunaan akal fikiran untuk menilai keselamatan sesuatu kandungan dari sudut logik, emosi dan mental.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Dan yang terakhir P adalah pilih. Pilih manakah satu yang kita boleh teruskan, yang tak boleh diteruskan.

“Jadi kita tak boleh nak ikut trend semua. Ada benda yang sesuai, ada benda yang tak sesuai,” katanya.

Beliau turut menyarankan ibu bapa menyemak dan menyelia penggunaan telefon bimbit serta akses internet anak bagi mengetahui kandungan yang diikuti atau dijadikan rujukan.

Kenali risiko pengantunan seksual

Mengulas mengenai risiko pengantunan seksual atau grooming, Siti Fatimah mengingatkan bahawa kepercayaan kanak-kanak terhadap individu yang dikenali boleh disalahgunakan sehingga mendedahkan mereka kepada eksploitasi seksual.

“Kebanyakan yang berlaku bukan disebabkan oleh orang asing, tetapi orang yang dikenali, yang dilindungi, yang dipercayai, yang mungkin juga disayangi oleh mereka ini,” katanya.

Seorang kanak-kanak perempuan menggunakan peranti digital, menggambarkan risiko ancaman pemangsa seksual yang boleh menyusup melalui permainan dalam talian, penstriman langsung dan platform digital. Gambar janaan AI

Beliau turut menjelaskan bahawa kecenderungan pedofilia berbeza daripada perlakuan jenayah seksual, dengan kedua-duanya perlu difahami dalam konteks tersendiri.

“Dia berada dalam konteks yang sangat berbeza antara jenayah dan juga kecenderungan seksual itu.

“Dari segi pedofilia ini, sebenarnya dia ada keinginan dan juga keterujaan. Tetapi dalam masa sama, untuk jenayah itu bila melibatkan kekerasan, kezaliman yang akhirnya boleh memberikan tekanan dan juga kemudaratan kepada mangsa dan juga keluarga mangsa,” katanya.

Intervensi profesional tersedia

Siti Fatimah menyifatkan pedofilia sebagai gangguan mental yang memerlukan perhatian, termasuk intervensi profesional bagi menangani aspek mental dan emosi individu terbabit.

“Dari segi intervensi ada sebenarnya. Dari segi pengamatan dan juga intervensi untuk sikap mental, emosi itu memang ada.

“Tetapi persoalannya, sejauh manakah mereka yang memerlukan bantuan ini tampil ke depan dan bersedia untuk dibantu,” katanya.

Intervensi dan bantuan profesional penting bagi membantu individu yang mengalami gangguan mental mendapatkan sokongan serta rawatan bersesuaian. Foto hiasan AI

Menurutnya, terdapat individu yang menyedari kecenderungan berkenaan dan mengambil langkah mendapatkan pertolongan, namun tidak semua bersedia berbuat demikian.

“Ada yang memang tampil untuk dapatkan bantuan dan mereka dapat kesedaran,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani masalah tersebut perlu mengambil kira keperluan bantuan kepada mangsa dan individu yang melakukan kesalahan.

“Mereka yang jadi mangsa juga perlu dibantu. Mereka yang pemangsa juga perlu dibantu,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.