
SHAH ALAM, 16 NOV: Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (UNISEL) perlu terus menerima sokongan dana mencukupi bagi memperkukuh usaha melahirkan modal insan berkualiti.
Menurut Ahli Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), sokongan kewangan penting bagi memastikan kelangsungan program pendidikan sebagai pemangkin agenda negeri.
Dr Mohd Amim Othman berkata subsidi yuran pengajian sehingga 50 peratus kepada anak Selangor perlu diteruskan kerana ia memperluas akses pendidikan tinggi kepada keluarga berpendapatan rendah.
"Apabila melihat Belanjawan Selangor dan adanya subsidi 50 peratus kepada pelajar UIS, ini satu pendekatan yang sangat baik untuk menambah peluang pelajar melanjutkan pengajian.
"Institusi seperti UIS dan UNISEL juga memerlukan dana mencukupi termasuk menjaga kebajikan tenaga pengajar kerana mereka kunci kejayaan sesebuah institusi pendidikan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa mengulas pembentangan Belanjawan Selangor 2027 oleh Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Dr Mohd Amim yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan tumpuan Selangor terhadap aspek pendidikan lain juga wajar diberi penghargaan.
Beliau antara lain merujuk kepada peruntukan RM1.425 juta untuk Program Peningkatan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang dijangka memberi manfaat kepada 164,215 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI).
Dr Mohd Amim juga menyentuh kenaikan elaun bulanan 7,245 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM200 kepada RM1,700 mulai Januari 2027 yang membabitkan peruntukan RM14 juta.
Belanjawan itu disifatkannya banyak memberi penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selain itu, pembangunan bakat menerusi program latihan industri Selangor Programme for Aspiring, Ready and Knowledgeable Talents (SPARK) yang menawarkan elaun RM1,500 sebulan.
Menurut Dr Mohd Amim, aspek kebajikan asas seperti pemakanan juga tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan pendidikan kerana murid yang mendapat khasiat mencukupi lebih mudah memberi tumpuan belajar.
"Apabila perut kenyang dan keperluan asas dipenuhi, barulah anak-anak boleh memberi perhatian kepada pembelajaran. Sebab itu inisiatif seperti Nutrisi Selangor (NutriSel) penting," katanya.
Beliau juga berpandangan pendidikan sepanjang hayat khususnya berkaitan perancangan kewangan peribadi dan keluarga perlu diperluas bagi membantu masyarakat mengurus pendapatan dengan lebih berkesan.
Katanya, peningkatan gaji tidak semestinya menjamin kesejahteraan jika orang ramai rakyat tidak memiliki pengetahuan baik dalam mengurus kewangan terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
"Kerajaan bukan sahaja perlu membantu dari segi kewangan tetapi turut menyediakan pendidikan supaya masyarakat tahu mengurus pendapatan, perbelanjaan dan simpanan.
"Program pendidikan seperti ini boleh memberi kesan lebih besar dalam jangka panjang kerana masyarakat mempunyai kemahiran untuk mengurus kehidupan sendiri," katanya.
Beliau mencadangkan pendekatan pembiayaan sosial diperluas dengan menggalakkan syarikat korporat menyumbang dalam program kebajikan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kekayaan ekonomi Selangor perlu diterjemah kepada manfaat lebih menyeluruh supaya golongan pekerja termasuk mereka yang menerima gaji rendah dan sederhana menikmati hasil pembangunan,” katanya.







