Selangor tanggung hampir separuh kos pengajian 4,000 mahasiswa

9 Sep 2026, 7:02 AM
Selangor tanggung hampir separuh kos pengajian 4,000 mahasiswa
Selangor tanggung hampir separuh kos pengajian 4,000 mahasiswa
Selangor tanggung hampir separuh kos pengajian 4,000 mahasiswa

GOMBAK, 9 SEPT: Kira-kira 4,000 mahasiswa anak Selangor menerima bantuan Kerajaan Negeri yang menanggung hampir 50 peratus kos pembelajaran bagi meringankan beban sepanjang pengajian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu melibatkan pelajar Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Selangor (UNISEL) serta Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

“Di Selangor kita ada bantuan sokongan kos pembelajaran. Kos pembelajaran mereka hampir 50 peratus ditaja oleh Kerajaan Negeri. Jumlah mereka ada 4,000 penerima.

“Responnya juga sangat baik. Kita ada batch penerima sekarang. Kita menilai program ini dalam masa terdekat dan bagaimana kita mahu teruskan pada masa depan, bergantung kepada pelaksanaan di peringkat universiti dan STDC,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan simbolik penyerahan Program Nutrisi Selangor (NutriSel) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pelajar ketika Program Nutrisi Selangor (NutriSel) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia  pada 9 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin berkata isu mahasiswa yang berdepan tekanan kos sara hidup memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan tidak boleh ditangani melalui bantuan yuran semata-mata.

Menurutnya, institusi zakat turut berperanan membantu mengurangkan beban mahasiswa menerusi lantikan amil di institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum sebahagian kutipan disalurkan kepada pelajar yang memerlukan.

“Kos sara hidup ini, akhirnya ia memerlukan kerjasama semua pihak. Pusat zakat juga membantu apabila menjadikan universiti sebagai amil.

“Sebahagian daripada pungutan itu boleh digunakan sebagai wakalah kepada pelajar yang memerlukan. Itu sudah dilaksanakan di UIS dan UNISEL di mana ia banyak membantu,” katanya.

Semalam, media melaporkan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed mendedahkan masih terdapat mahasiswa daripada keluarga daif yang terpaksa mencatu makanan, termasuk makan hanya sekali sehari sepanjang pengajian.

Beliau dilapor berkata keadaan itu menunjukkan bantuan pendidikan tidak boleh tertumpu kepada yuran semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keperluan asas pelajar ketika berada di kampus.

Abdul Rahman berkata demikian ketika mengendalikan sesi bertajuk Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B40 dan M40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Pada Mei lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan tajaan separuh kos pengajian anak Selangor di UIS, UNISEL dan STDC dengan nilai pembiayaan hampir RM20 juta.

Untuk rekod, setakat ini hanya dua negeri yang menyediakan penajaan pendidikan kepada mahasiswa, dengan Sarawak menanggung sepenuhnya kos pengajian manakala Selangor menanggung separuh daripadanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.