
SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan peluang pekerjaan khusus bagi warga emas terutamanya golongan pesara yang masih berkeupayaan dan mahu terus menjana pendapatan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berkata cadangan itu wajar diberi perhatian memandangkan ramai golongan berusia mahu terus berdikari tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Negara kita kini menghadapi negara menua, ramai yang datang jumpa saya, khususnya mereka yang sudah bersara, meminta peluang pekerjaan kerana tidak mahu bergantung kepada kerajaan.
“Jadi saya harap kerajaan dapat buat sesuatu untuk mencipta pekerjaan bagi warga emas supaya mereka boleh berdikari atau mendapatkan pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Tony menegaskan penyediaan peluang pekerjaan adalah pendekatan lebih lestari berbanding mengharapkan sumbangan tunai semata-mata.
“Kalau hanya kerajaan yang asyik memberi duit, tidak bolehlah. Pandangan saya, kita beri peluang pekerjaan kepada warga emas.
Dalam pada itu, Tony turut berharap aspek kebajikan rakyat termasuk pendidikan serta golongan yang memerlukan terus diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2027.

Menerusi Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM55 juta bagi pelaksanaan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang memberi manfaat kepada individu berusia 60 tahun ke atas serta golongan orang kurang upaya (OKU).
Di bawah skim berkenaan, ahli yang layak menerima baucar beli-belah bernilai RM150 setahun selepas jumlah itu dinaikkan daripada RM100 pada 2023.
Sehingga April lalu, seramai 418,799 ahli aktif direkodkan di bawah SMUE. Kerajaan Negeri turut mengunjurkan tambahan 100,000 warga emas sekiranya pendaftaran baharu dibuka, dengan implikasi kewangan sekitar RM15 juta setahun.







