MB: Belanjawan Selangor 2027 perkukuh sokongan akademik pelajar

28 Ogos 2026, 5:15 AM
MB: Belanjawan Selangor 2027 perkukuh sokongan akademik pelajar
MB: Belanjawan Selangor 2027 perkukuh sokongan akademik pelajar
MB: Belanjawan Selangor 2027 perkukuh sokongan akademik pelajar

GOMBAK, 28 OGOS: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar menerusi Belanjawan Selangor 2027.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara pendekatan yang akan diperhalusi ialah pengukuhan sistem sokongan bagi membantu pelajar mencatat keputusan lebih baik dalam peperiksaan.

Katanya, perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Kita akan melihat lagi sistem sokongan dalam belanjawan bagi mengukuhkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan serta penglibatan dalam bidang STEM.

"Selain itu, ada beberapa pendekatan yang akan kita laksanakan untuk mendekatkan pelajar dengan masyarakat supaya mereka turut dapat berkhidmat dan menyumbang kepada komuniti,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak di Selayang, 28 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, Selangor mempunyai kira-kira sejuta pelajar yang berpotensi memberi impak besar terhadap pembangunan negeri.

"Jika sejuta pelajar ini mampu mencatat keputusan cemerlang dan pada masa sama memberi impak baik kepada masyarakat, ia akan menghasilkan kesan yang sangat positif kepada Selangor," ujarnya.

Untuk rekod, Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM136.2 juta bagi memperkasa ekosistem pendidikan anak Selangor, termasuk RM2 juta untuk pembangunan mahasiswa menerusi penganjuran konvensyen, program mahasiswa dan Jerayawara Siswa Kita Selangor.

Peruntukan itu turut meliputi pelbagai inisiatif pendidikan tinggi serta Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), antaranya geran penyelidikan, baucar buku dan Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU).

Kerajaan Negeri juga memperkenalkan pendidikan separa percuma kepada anak Selangor yang mengikuti pengajian di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) menerusi pembiayaan yuran asas.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.