SHAH ALAM, 15 NOV: Dua pelajar German-Malaysian Institute (GMI) meraih Anugerah Tangan Emas bernilai RM10,000 selepas menjuarai kategori Industri 4.0 pada Pertandingan Selangor Advance Skills 2026.
Muhammad Danish Iman Zaini dan Muhammad Afif Abbasy Mohd Asif turut membawa pulang piala serta pingat emas bagi kategori berkenaan.
Pertandingan itu merupakan antara pengisian utama Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 yang melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Setia City, semalam.
Tempat kedua pula menjadi milik K Hemalan dari Politeknik Muadzam Shah bersama Wan Ahmad Syamil Wan Mohd Zukri dari Politeknik Kota Bharu, manakala Muhammad Aniq Asyraf Ed Hasmizim dan Muhammad Hafiz Rosidan dari ADTEC Shah Alam menduduki tempat ketiga.
Pertandingan berkenaan turut mempertandingkan lima kategori lain iaitu Mekatronik, Pemasangan Elektrik dan Automasi Bangunan, Kawalan Industri, Pembangunan Aplikasi Mudah Alih serta Robotik Bionik.

Bagi kategori Mekatronik, pingat emas dimenangi Muhammad Naufal Anuar dan Amir Irfan Kamarudin dari ADTEC Batu Pahat, manakala Muhammad Syauqirudeen Abdullah dari IKTBN Dusun Tua menjuarai kategori Pemasangan Elektrik dan Automasi Bangunan.
Kategori Kawalan Industri pula dimenangi Muhammad Harith Irfan Md Badrol Hisham dari Kolej Vokasional Sepang bersama Muhammad Harith Mohd Izani dari Kolej Vokasional Ampangan.
Sementara itu, empat peserta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meraih pingat emas kategori Pembangunan Aplikasi Mudah Alih, manakala tiga peserta Kolej Vokasional Sepang memenangi kategori Robotik Bionik.
Setiap pemenang tempat pertama menerima piala, pingat emas dan wang tunai RM3,000, manakala tempat kedua memperoleh pingat perak serta RM2,000 dan tempat ketiga pingat gangsa serta RM1,000.

Dalam majlis sama, lapan pelajar tingkatan satu hingga empat dari beberapa sekolah di Selangor menerima Biasiswa Sagong Tasi 2026 bagi menyokong pendidikan mereka.
Seramai 45 peserta yang terpilih daripada 200 penyertaan pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) NASA Zero Robotics turut menerima sijil penyertaan.
Mereka akan melalui beberapa fasa pemilihan sebelum dua peserta terbaik dipilih untuk menerima biasiswa penuh Kerajaan Negeri bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Robotik Aeroangkasa di University of California, Berkeley, Amerika Syarikat.
Majlis penutupan SES 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 11 November lalu disempurnakan EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi, semalam.
Penganjuran berkenaan menghimpunkan pelbagai inisiatif, pertandingan, simposium dan konvensyen dengan kerjasama pemain utama ekosistem pendidikan negeri merangkumi bidang TVET, STEM, penyelidikan dan inovasi, aeroangkasa, nuklear serta pembelajaran interaktif.








