SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri melancarkan platform pembelajaran digital ePraktis Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang menyediakan 2,201 soalan latihan bagi membantu pelajar Tingkatan 4 dan 5 meningkatkan penguasaan akademik.
Platform itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.
Menurut Amirudin, PTRS bukan sahaja menjadi rujukan dan memanfaat pelajar di Selangor sebaliknya negeri lain menerusi platform e-PTRS.
“Kita sedar pendidikan berlaku lompong di peringkat rendah dan menengah sebab itu PTRS dilaksana. Kita bukan mengurangkan atau melupakan apa yang dibuat sebaliknya menambah peserta.
“Petunjuk jelas apabila kadar purata negeri menunjukkan peningkatan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya 2024 dan 2025 berbanding tahun sebelumnya dan Kementerian Pendidikan turut mengiktiraf usaha Kerajaan Negeri ini,” katanya.

Jelas Amirudin, seramai 160,000 pelajar di seluruh Selangor terlibat dalam program berkenaan yang kini menawarkan lapan mata pelajaran berbanding hanya empat subjek asas sebelum ini.
“Data terkini diperoleh laman web e-PTRS kini dicapai lebih 70,000 pelajar seluruh negeri dan 20,000 pelajar negeri luar Selangor.
“Malah, ada negeri yang berkolaborasi dengan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI (Yayasan MBI) dengan saya secara langsung daripada dua jajahan kini lima jajahan negeri terlibat…ada 8,000 pelajar ikuti silibus PTRS,” ujarnya.
Platform ePraktis PTRS menyediakan modul latihan bagi enam mata pelajaran utama Tingkatan 4 dan 5 yang mana ia disusun mengikut subjek dan topik bagi membantu pelajar mengukuhkan kefahaman secara berperingkat.
Mempunyai 2201 soalan, enam subjek terlibat adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik dan Matematik Tambahan.
Dengan latihan interaktif dan pemahaman jawapan sistematik, ia membantu pelajar menguasai topik, membolehkan pelajar memantau perkembangan prestasi akademik dan menggalakkan pembelajaran kendiri secara berterusan.
PTRS diperkenal sejak 2009 merupakan inisiatif pendidikan percuma Kerajaan Negeri yang menyediakan bahan pembelajaran digital menerusi platform ePTRS serta kelas tuisyen bersemuka bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.










