ePraktis PTRS tawar latihan interaktif, tingkat kefahaman pelajar

12 Nov 2026, 10:00 AM
ePraktis PTRS tawar latihan interaktif, tingkat kefahaman pelajar
ePraktis PTRS tawar latihan interaktif, tingkat kefahaman pelajar
ePraktis PTRS tawar latihan interaktif, tingkat kefahaman pelajar

KUALA SELANGOR, 12 NOV: Platform pembelajaran digital ePraktis Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dilancarkan semalam menawarkan latihan interaktif dengan sistem pemarkahan serta merekod prestasi pelajar berdasarkan jawapan yang diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pendekatan baharu itu membolehkan pelajar menjawab soalan secara langsung, selain menerima penerangan mengenai jalan kerja bagi setiap latihan.

“Latihan-latihan ini berbentuk secara kendiri dan ada interaktifnya, ada pemarkahan bahkan setiap jawapan yang diberikan kita rekod keupayaan pelajar itu. Kita akan berikan hadiah apabila berjaya mencapai tahap tertentu pada latihan diberikan.

“Ini kali pertama kita buat secara interaktif. Sebelum ini hanya ada pengajaran secara online, hanya sehala sahaja dan soalan ramalan diberikan. Ini soalan yang boleh dijawab terus dan ada jalan kerja diberikan sekali.

“Selepas ini, kita mungkin akan masukkan elemen teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya jawapan diberikan dipersembahkan lebih baik supaya pelajar dapat manfaat terbaik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menziarahi penduduk yang terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SRA Bukit Kuching, Kuala Selangor pada 12 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui ketika sesi penyerahan bantuan banjir kepada penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut memberi perhatian terhadap kestabilan platform berkenaan, khususnya ketika musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyaksikan peningkatan jumlah pengguna.

Menurutnya, platform PTRS kini mempunyai 70,000 pengguna berdaftar, termasuk 20,000 dari luar Selangor.

“Kita ada 70,000 pengguna berdaftar dan 20,000 dari luar Selangor. Ini satu kebanggaan sebab produk dipercayai sehingga luar Selangor.

“Kita bersedia supaya laman web stabil dan kita memang bersedia setiap tahun. Menjelang peperiksaan SPM, trafik agak tinggi kerana ramai pelajar guna, tetapi ini harapan kita mereka gunakan sepenuhnya,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 11 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan ePraktis PTRS sempena Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 di Pusat Konvensyen Setia City.

Platform itu menyediakan 2,201 soalan latihan bagi enam mata pelajaran utama tingkatan 4 dan 5, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sejarah, sains, matematik dan matematik tambahan.

Modul latihan disusun mengikut mata pelajaran dan topik, selain dilengkapi penjelasan jawapan bagi membantu pelajar mengukuhkan kefahaman serta memantau perkembangan prestasi akademik secara berperingkat.

PTRS yang diperkenalkan sejak 2009 merupakan inisiatif pendidikan percuma Kerajaan Negeri menerusi penyediaan bahan pembelajaran digital melalui platform ePTRS serta kelas tuisyen bersemuka bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.