Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor: Idea dibentang perlu diterjemah kepada tindakan susulan – EXCO

14 Nov 2026, 12:00 PM
Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor: Idea dibentang perlu diterjemah kepada tindakan susulan – EXCO
Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor: Idea dibentang perlu diterjemah kepada tindakan susulan – EXCO
Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor: Idea dibentang perlu diterjemah kepada tindakan susulan – EXCO
Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor: Idea dibentang perlu diterjemah kepada tindakan susulan – EXCO

SHAH ALAM, 14 NOV: Idea dan cadangan yang dibentangkan sepanjang Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.

EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata kejayaan penganjuran sidang itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pengunjung, pameran atau program yang dilaksanakan, sebaliknya melalui impak terhadap landskap pendidikan Selangor.

“Setiap jabatan dan agensi berkaitan perlu meneliti serta mengambil tindakan susulan terhadap hasil perbincangan sidang kemuncak ini untuk dijadikan input dalam merangka dan memperkukuh inisiatif pendidikan negeri.

“Kita perlu bergerak daripada pendekatan yang bersifat program demi program kepada pembangunan ekosistem yang lebih tersusun, bersepadu dan mempunyai keberhasilan yang boleh diukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis penutupan SES 2026 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Najwan berkata, pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan anak muda Selangor memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan industri dan ekonomi masa hadapan.

Menurutnya, negeri ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, malah kompetensi teknikal, kemahiran digital serta keupayaan berinovasi.

Pada masa sama, kemajuan teknologi dan kecemerlangan intelektual perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah yang merangkumi nilai moral, integriti, disiplin dan akhlak.

Beliau turut menggesa kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, guru, ibu bapa, sektor industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti diperkukuh bagi memastikan transformasi pendidikan melibatkan seluruh ekosistem.

Katanya, sektor industri dan swasta juga perlu menyediakan lebih banyak peluang latihan, perkongsian kepakaran serta pendedahan kerjaya kepada anak-anak Selangor.

“Kita mahu setiap pelaburan dalam pendidikan memberi pulangan yang bermakna, bukan sekadar dalam bentuk pencapaian akademik, tetapi melalui peningkatan kualiti kehidupan, kebolehpasaran bakat dan pembentukan masyarakat yang berilmu serta berakhlak.

“Saya percaya kerjasama semua pihak dapat melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat global, berani mencipta serta mampu menentukan masa depan negeri dan negara tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan dan jati diri,” katanya.

SES 2026 berlangsung selama empat hari bermula 11 November lalu dengan penyertaan institusi pendidikan dari dalam dan luar Selangor, termasuk Kelantan, Melaka dan Johor.

Pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan, antaranya pertandingan dan pameran robotik serta Kecerdasan Buatan (AI) bersama LEGO, selain penerokaan inovasi aeroangkasa dan teknologi pendidikan bersama Petrosains.

Turut diadakan ialah aktiviti Interactive Playground dan Maze4Kids, Konvensyen, Dialog dan Inovasi METASel serta perlawanan persahabatan (fun match) antara Selangor Red Giants (SRG) dan Selangor e-Sport School.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.