SHAH ALAM, 28 JULAI: Selangor dijangka mencatat nilai ekonomi melebihi RM500 bilion lebih awal daripada sasaran, sekali gus menjadi negeri pertama merekodkan pencapaian tersebut.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata unjuran itu berdasarkan prestasi ekonomi semasa negeri yang terus merekodkan pertumbuhan kukuh, selain didorong keyakinan berterusan pelabur dan pemain industri.
Beliau berkata perkara itu dikongsikan Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri menerusi pembentangan prestasi ekonomi Selangor pada Mesyuarat Majlis Statistik Data Negeri/Wilayah (MSDNgW) Selangor Bilangan 1/2026 hari ini.
"Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi Malaysia dengan menyumbang 26.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, selain merekodkan pertumbuhan 6.3 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus.
"Sektor perkhidmatan dan pembuatan pula kekal sebagai pemacu utama ekonomi negeri dengan sumbangan kumulatif sebanyak 89.3 peratus kepada KDNK Selangor," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Amirudin berkata pencapaian itu mencerminkan struktur ekonomi negeri yang kukuh, berdaya tahan serta terus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan MSDNgW Selangor memainkan peranan penting dalam menyelaras pengumpulan dan pengurusan data statistik sebagai asas kepada perancangan dasar Kerajaan Negeri.
Katanya, data yang tepat dan menyeluruh akan membantu penyediaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) serta Belanjawan Negeri Selangor supaya lebih bersasar dan memenuhi keperluan rakyat.







