SHAH ALAM, 2 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin sokongan pengundi di beberapa kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kekal positif hasil gerak kerja lapangan dan khidmat kepada rakyat yang dilaksanakan sejak lebih empat tahun lalu.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gerak kerja kempen akan dipergiatkan bagi mengekalkan momentum sokongan rakyat, termasuk menerusi penggunaan media sosial.

“Program pertemuan fizikal berlangsung, tetapi baru masuk tiga hari pertama. Saya percaya respons kita di beberapa kerusi tumpuan masih lagi baik disebabkan kerja lapangan yang dilaksanakan calon atau parti sejak lebih empat hingga lima tahun yang lepas.
“Jadi, bukan soal dua minggu kempen, tetapi soal bagaimana kita melayan ataupun menyediakan sokongan kepada rakyat dalam tempoh dua hingga empat atau lima tahun yang lepas,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Program NutriSel dan Mega NutriSel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, penyelarasan jentera HARAPAN di peringkat negeri turut akan dipertingkatkan bagi memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar.
Sebelum ini, beliau mengingatkan semua calon HARAPAN supaya berkempen secara profesional dengan menjaga adab dan tingkah laku, selaras dengan prinsip kematangan politik yang diperjuangkan gabungan itu.
HARAPAN mempertaruhkan 24 calon pada PRN kali ini dengan mengangkat tema ‘Melaka Rumah Kita’ sebagai mesej utama kempen.
Daripada jumlah itu, KEADILAN meletakkan 10 calon masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Ayer Limau, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Paya Rumput, Klebang, Ayer Molek, Rim dan Serkam.
DAP pula mempertaruhkan tujuh calon di DUN Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong dan Bandar Hilir.
Sementara itu, Amanah turut meletakkan tujuh calon di DUN Kuala Linggi, Durian Tunggal, Bukit Katil, Telok Mas, Merlimau, Taboh Naning dan Sungai Rambai.







