HULU LANGAT, 1 NOV: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Melaka, Adly Zahari dipersetujui sebagai calon ketua menteri sekiranya pakatan itu memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa nama lain turut dipertimbangkan, namun setakat ini Adly menjadi pilihan bersama kepimpinan pakatan berkenaan.
“Kita masih ada calon. Adly adalah calon yang baik dan beberapa yang lain, tetapi hari ini, Adly adalah konsensus untuk kita namakan sebagai calon ketua menteri kalau kita dapat majoriti ataupun diberi kepercayaan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penutupan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2026 (HPPK2026) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Stadium Kajang, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata HARAPAN dijangka mengumumkan manifesto bertemakan ‘Melaka Rumah Kita’ dalam tempoh kira-kira tiga hari lagi.
“Insya-Allah kita dah selesai pencalonan. Hari ini proses ini, saya ingat dalam tiga hari lagi kita akan umumkan perkembangan manifesto ‘Melaka Rumah Kita’.
“Setakat semalam masih terlalu awal untuk melihat suasana. Namun kita yakin kita boleh memberikan persaingan yang sengit dalam PRN Melaka, insya-Allah,” katanya.
Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berdepan pertandingan empat penjuru pada PRN kali ini.
Beliau dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ridzuan Mohd Shariff; calon Bebas, Abu Bakar Sabudin dan calon Parti Bersama, Aliza Che Amran.
Pada PRN Melaka Ke-15, Adly memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,057 undi selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Hasnoor Sdg Husin daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Al Afiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid (Bebas).
Sebelum ini, Amirudin berkata HARAPAN akan menggunakan kempen PRN Melaka bagi menjawab dakwaan yang dibangkitkan serta menjelaskan isu berbangkit kepada pengundi.
Menurutnya, pengundi berhak mendapat maklumat tepat dan sahih bagi membuat pilihan berdasarkan fakta.







