SHAH ALAM, 1 NOV: Kira-kira 70,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 bakal menerima sarapan percuma sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung menerusi inisiatif Kerajaan Negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bertujuan membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih baik, selain memberi sokongan dan meningkatkan semangat mereka.
“Kerajaan Negeri sedang menyiapkan proses menyedia keperluan makanan untuk 70,000 pelajar SPM yang sudah menjalani peperiksaan bermula hujung bulan lalu.
“Waktu peperiksaan (tempoh masih berjalan), kita sediakan makanan pagi atau makanan sewajarnya kepada anak-anak ini. Pelaksanaannya akan diumum dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisel & Meganutrisel 2026 di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan Program Mega Nutrisi Selangor (Nutrisel) yang bakal berakhir minggu depan bakal memanfaatkan 993,670 pelajar di seluruh Selangor.
Menurutnya angka terbabit melibatkan 962 sekolah termasuk pelajar di sekolah berasrama penuh, Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam.
“Program ini kita beri kepada semua pelajar secara one-off. Cuma makanan tidak seberat program Nutrisel sebab kita nak raikan lebih 993,000 pelajar.
“Untuk Shah Alam sahaja, hampir 120,000 pelajar terima manfaat. Sekolah ini sahaja lebih 1,200 pelajar,” katanya.
Program Nutrisel merupakan bantuan sarapan percuma kepada lebih 100,000 pelajar daripada 962 sekolah di negeri ini bermula 3 Ogos hingga 3 Disember depan.
Inisiatif menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM14.4 juta, dengan sasaran merupakan pelajar daripada isi rumah B40 berpendapatan di bawah RM2,000.
Program itu diperluas kepada Mega Nutrisel pada pertengahan Oktober lalu dan menjadi sebahagian usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sokongan nutrisi kepada pelajar.












