PRN Melaka: Kempen secara sihat demi keharmonian negara – Teo Nie Ching

31 Okt 2026, 6:00 AM
PRN Melaka: Kempen secara sihat demi keharmonian negara – Teo Nie Ching

MELAKA, 31 OKT: Semua calon dan jentera parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 diingatkan agar mengamalkan pendekatan berkempen secara sihat.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata walaupun perbezaan pandangan dan kritikan politik sukar dielakkan semasa musim pilihan raya, namun keharmonian masyarakat tidak wajar dikorbankan.

Beliau yang juga Ketua Wanita DAP berkata perbezaan ideologi politik tidak seharusnya memecahbelahkan perpaduan rakyat kerana setiap individu berkongsi identiti yang sama sebagai warga Malaysia.

"Saya harap semua calon dan penyokong masing-masing dapat berkempen dalam satu cara yang sihat dan membina. Kita tahu semasa pilihan raya memang tidak boleh elak daripada kritikan atau kadang-kadang gaduh sikit.

"Tetapi yang paling penting, kita perlu faham bahawa sebelum menjadi calon, kita semua warga Malaysia. Jadi pastikan kempen kita sihat dan membina supaya kita boleh mewujudkan sebuah negara dan negeri Melaka yang lebih sihat dan harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir memberi sokongan dan mengiringi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir Leng Chau Yen di pusat penamaan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu di sini hari ini.

DUN Bandar Hilir menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Leng, calon Barisan Nasional (BN) Jasmine Lok dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil.

Sementara itu, Leng menzahirkan rasa syukur atas kelancaran proses penamaan calon pagi tadi, selain menyatakan kesiapsiagaan pasukannya untuk turun padang mendekati pengundi.

"Proses di sini berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan kami sudah bersedia sepenuhnya untuk berkempen. Jangkaan saya adalah agar kita semua dapat berkempen secara sihat, makmur dan sejahtera," katanya.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 November.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.