HULU SELANGOR, 31 OKT: Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk komuniti Hulu Selangor pada Program Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 meningkat kepada RM150,000 berbanding penganjuran sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata berbanding penganjuran sulung di Kampung Batu Laut di Kuala Langat tahun lalu, Media Selangor menghulurkan sumbangan bernilai RM90,000.
“Ini merupakan program CSR Media Selangor bersama rakan strategik bagi mendekati komuniti di seluruh sembilan daerah di negeri Selangor,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Al-Falah, Kampung Kalong Tengah, di sini, hari ini.
Antara rakan strategik yang terlibat ialah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Selgate Corporation, Worldwide Holdings Berhad, Air Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad), KDEB Waste Management, Bukit Beruntung Golf Club, Management and Science University (MSU) serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan.
Program itu turut diserikan dengan penampilan istimewa Selangor FC.
Edisi pertama program itu melibatkan komuniti Orang Asli sebelum diteruskan di Hulu Selangor pada tahun ini.

Antara pengisian program ialah pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata, gotong-royong, rewang, 'Meet & Greet Bersama Pemain Selangor FC, Jualan Ehsan Rahmah dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk penduduk setempat.
Mohamed Fareed turut menyatakan sokongan terhadap kesinambungan aktiviti pencak silat sebagai warisan Melayu yang membantu memupuk kecergasan serta membentuk sahsiah kanak-kanak sejak kecil.
Sementara itu, EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah mencadangkan Program Media Selangor Masuk Kampung diadakan dua kali setahun bagi mempercepat peluasan pelaksanaannya ke sembilan daerah di Selangor.
"Saya juga menyambut baik rancangan Media Selangor memperluaskan projek ini berperingkat ke semua sembilan daerah negeri Selangor.
"Jadi kalau setahun sekali, jadi sembilan tahun. Kalau boleh buat setahun dua kali akan jadi empat tahun sahaja," katanya.
Borhan berkata kejayaan program CSR tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah sumbangan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira manfaat serta perubahan yang dirasai masyarakat.
Seramai 115 sukarelawan daripada Media Selangor dan pelbagai organisasi terlibat menjayakan program berkenaan.
Beliau turut menyatakan hasrat mengetengahkan Kuih Tat Bengkulu, yang dikaitkan dengan identiti Hulu Selangor, supaya diiktiraf dan diwartakan sebagai makanan warisan negeri.











