SHAH ALAM, 11 FEB: Media Selangor menerusi Kluster Penjanaan Hasil hari ini melancarkan kempen khas dikenali sebagai SAMA, satu inisiatif berkonsepkan aktivasi lapangan (ground activation) yang bertujuan memperkukuh kolaborasi strategik bersama vendor, klien dan komuniti menerusi siri jelajah di seluruh negeri ini.
Kempen SAMA akan dilaksanakan melalui pelbagai siri jelajah merangkumi jelajah daerah, komuniti, institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah dengan pendekatan yang interaktif, inklusif dan berimpak tinggi kepada masyarakat setempat, termasuk mengetengahkan program serta inisiatif Kerajaan Negeri.
Antara pengisian utama aktivasi lapangan di bawah kempen ini adalah perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran serta penglibatan komuniti secara menyeluruh yang dirangka berasaskan keperluan sebenar masyarakat sasaran.
Kempen SAMA tidak hanya tertumpu kepada aktiviti jualan dan pemasaran produk atau perkhidmatan, sebaliknya diperluaskan kepada penganjuran bengkel kecantikan dan kesihatan, sesi perkongsian ilmu, demonstrasi praktikal, bengkel keusahawanan serta program kesedaran masyarakat berkaitan isu sosial, kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.
Selain itu, kempen ini turut membuka ruang kepada pelaksanaan pengumuman khidmat awam (PSA), aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), program kemasyarakatan seperti gotong-royong serta pelbagai inisiatif berbentuk ilmiah dan pendidikan yang mampu memperkasakan komuniti.

Ketua Kluster Penjanaan Hasil Media Selangor, Nursuziana Zulkifli berkata menerusi SAMA, Media Selangor berperanan sebagai platform penghubung strategik antara klien, rakan industri dan masyarakat.
“Menerusi SAMA, Media Selangor menyampaikan nilai, kemahiran, teknik serta maklumat bermanfaat secara langsung kepada komuniti, sekali gus mewujudkan hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada semua pihak terlibat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pelaksanaan kempen SAMA mencerminkan evolusi Media Selangor sebagai sebuah organisasi media yang berkembang kepada entiti perniagaan pelbagai (diversified business), merangkumi kepakaran dalam pengurusan acara, penganjuran seminar, pengurusan kempen komunikasi serta pengurusan krisis, selari dengan keperluan industri dan landskap komunikasi semasa.
“SAMA bukan sekadar aktivasi di lapangan, tetapi satu platform strategik yang mencerminkan keupayaan Media Selangor sebagai rakan kolaborasi menyeluruh kepada klien dan vendor,” tambah beliau.
Majlis pelancaran kempen SAMA telah diadakan bersempena Townhall Media Selangor dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, sebagai platform pengenalan awal kempen ini kepada umum, khususnya kepada vendor berpotensi yang berminat untuk terlibat dalam siri jelajah akan datang.

Jemputan kepada vendor bagi menghadiri sesi townhall tersebut juga merupakan langkah awal ke arah membuka ruang kerjasama strategik serta menggalakkan penyertaan aktif dalam menjayakan kempen SAMA pada masa hadapan.
Kempen SAMA dijangka menjadi platform berterusan yang bukan sahaja mempertemukan vendor, klien dan komuniti, malah mengukuhkan peranan Media Selangor sebagai pemangkin kolaborasi strategik yang memberi manfaat bersama, selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi dan sosial negeri Selangor.
Mengenai kempen SAMA:
SAMA yang membawa maksud Support.Aspire.Move.Activation menerapkan pendekatan kebersamaan dan kerjasama, dengan konsep buat bersama, bergerak bersama dan berkongsi manfaat bersama.
Kempen ini merangkumi 10 tema aktivasi lapangan iaitu:
Sama Sihat (Kesihatan)
Sama Gaya (Gaya Hidup)
Sama Jiwa (Kerohanian)
Sama Didik (Pendidikan)
Sama Hustle (Keusahawanan)
Sama Glow (Kecantikan)
Sama Rasa (Pemakanan)
Sama Budaya (Warisan dan Tradisi)
Sama Kasih (Kebajikan dan CSR)
Sama Alam (Kelestarian)
Konsep ini selari dengan aspirasi untuk membina ekosistem kerjasama yang mampan serta memberi impak positif kepada pembangunan sosial dan ekonomi setempat.





