EXCO puji CSR syarikat sedia kelengkapan sekolah, bantu lebih ramai pelajar asnaf

23 Dis 2025, 10:20 AM
EXCO puji CSR syarikat sedia kelengkapan sekolah, bantu lebih ramai pelajar asnaf
EXCO puji CSR syarikat sedia kelengkapan sekolah, bantu lebih ramai pelajar asnaf
EXCO puji CSR syarikat sedia kelengkapan sekolah, bantu lebih ramai pelajar asnaf

SUBANG JAYA, 23 DIS: Tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam sektor pendidikan bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar daripada keluarga asnaf, malah mampu menjadi pemangkin semangat mereka meneruskan pembelajaran.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari memuji usaha syarikat yang menyediakan kelengkapan persekolahan dan menggesa lebih banyak syarikat mengambil inisiatif serupa bagi manfaat lebih ramai pelajar.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap dalam Program Mydin Jelajah Generasi Pintar di Mydin Subang Jaya pada 23 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Kita tahu kos menghantar anak ke sekolah tinggi. Bantuan lengkap ini memberi keyakinan kepada anak-anak untuk hadir ke sekolah dan memastikan tiada pelajar tercicir.

"Inisiatif sebegini bukan sahaja membantu pelajar, tetapi juga menyokong pembangunan modal insan yang akan memberi impak positif kepada masyarakat dan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program sumbangan Jelajah Generasi Pintar anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tengah) bersama Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin (dua kanan) ketika hadir dalam Program Mydin Jelajah Generasi Pintar di Mydin Subang Jaya pada 23 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Program berkenaan yang turut mendapat kerjasama syarikat kasut Abaro menyasarkan lebih 1,000 pelajar sekolah rendah di Selangor sebelum bergerak ke negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Pahang dan Melaka.

Sementara itu Pengarah Urusan Mydin Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata setiap pelajar menerima kelengkapan sekolah bernilai RM150 termasuk pakaian seragam, alat tulis, beg sekolah dan keperluan asas lain.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin bercakap kepada media dalam Program Mydin Jelajah Generasi Pintar di Mydin Subang Jaya pada 23 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Ini merupakan program tahunan dan mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka akan kenal pasti pelajar layak terima bantuan ini,” katanya.