SHAH ALAM, 30 NOV: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Media Selangor Masuk Kampung' terus memperkukuh komitmen Media Selangor Sdn Bhd dalam menyantuni masyarakat apabila hampir RM100,000 disalurkan kepada komuniti Orang Asli Mah Meri.

Media Selangor dalam kenyataan memaklumkan, program bersama pelbagai rakan strategik di Kampung Tanjung Sepat, Sepang itu merangkumi bantuan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan pembangunan komuniti.

Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) menyumbang RM20,500 bagi menyediakan 200 bakul makanan kepada ketua keluarga, yang turut didokumentasikan melalui rakaman video CSR syarikat.

"Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) pula menyediakan RM20,000 bagi pemberian beg sekolah kepada kanak-kanak sebagai persediaan penggal persekolahan 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Selgate Healthcare menaja RM10,000 untuk penganjuran pemeriksaan kesihatan asas percuma merangkumi pemeriksaan tekanan darah, gula, Indeks Jisim Badan (BMI) dan khidmat nasihat kesihatan.

Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) turut menyalurkan RM10,000 bagi kerja baik pulih gelanggang futsal melalui serahan cek cura rasmi, sebagai sokongan terhadap pembangunan sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

Dalam masa sama, Media Selangor sendiri menyumbang RM35,000 meliputi penyediaan mural di bilik muzik, bengkel pembuatan biskut untuk kanak-kanak, dokumentasi video, liputan media, penerbitan kandungan dan edaran maklumat melalui platform digital.

"Secara keseluruhan, hampir RM100,000 disalurkan melalui bantuan seperti bakul makanan, beg sekolah, aktiviti pendidikan, pemeriksaan kesihatan, baik pulih kemudahan sukan, pembangunan mural dan pemberian permainan LEGO," katanya.

Antara aktiviti paling mendapat sambutan ialah bengkel pembuatan biskut bersama hampir 60 anak Orang Asli, dikendalikan chef selebriti Danish Harraz secara sukarela. Program itu memberi pendedahan kemahiran asas membuat biskut dalam suasana santai dan menyeronokkan.

Penduduk kampung turut menerima manfaat lain termasuk pemeriksaan kesihatan, bantuan keperluan asas dan peluang mempelajari kemahiran baharu menerusi pelbagai aktiviti komuniti.



