Air Selangor agih 8,583 bakul makanan kepada keluarga B40

22 Dis 2025, 12:00 PM
Air Selangor agih 8,583 bakul makanan kepada keluarga B40
Air Selangor agih 8,583 bakul makanan kepada keluarga B40

SHAH ALAM, 22 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengagihkan 8,583 bakul makanan kepada keluarga B40 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak diperkenal Jun 2020.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata bakul makanan dikenali ‘Box of Hope’ itu diberikan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan sekali gus memberi keceriaan.

“Agihan bantuan makanan asas ini juga memperkukuh hubungan antara lapisan masyarakat termasuk komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Sempena Hari Krismas juga, Air Selangor menyalurkan sumbangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, peralatan pembersihan kepada BRDB Rotary Children’s Residence di Seri Kembangan, Shelter Home for Children di Petaling Jaya dan Pusat Jagaan Kanak-kanak Openhands Fellowship di Kajang.

“Air Selangor kekal komited mendekati komuniti yang memerlukan serta memastikan tiada sesiapa yang terpinggir dalam meraikan musim perayaan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Agensi itu turut memaklumkan orang ramai juga boleh melakukan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/

Air Selangor merupakan perkhidmatan air terbesar di Malaysia yang menyediakan bekalan air terawat bersih dan selamat kepada lebih 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sehingga kini, Air Selangor mengendalikan 34 loji rawatan air yang terletak di 10 wilayah dan mempunyai lebih 5,000 pekerja yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang dalam industri.

Program Box of Hope merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) Air Selangor, Sesama Mara yang bertujuan membantu masyarakat kurang berkemampuan.